Sewaktu kita kecil dahulu pasti pernah terdetik untuk menubuhkan negara sendiri dan menjadi penguasa mutlak tetapi ia hanya dianggap sebagai mimpi sahaja.
Siapa sangka seorang pemuda berjaya mereliasasikan idea gila itu menjadi realiti seperti apa yang dilaporkan oleh media antarabangsa pada ketika ini.

Seorang pemuda berusia 20 tahun mengisytiharkan dirinya sebagai presiden sebuah negara sendiri yang bernama Free Republic Of Verdis, yang mana terletak di sebuah kawasan kecil yang dipertikaikan di sepanjang Sungai Danube di antara Croatia dan Serbia.
Menariknya, negara itu kini sudah lengkap dengan bendera, kabinet menteri, mata wang dan juga lebih 400 rakyat jelata. Selain itu, kelihatan sudah tersedia pasport khas yang direka untuk negara itu juga.
Malah, Jackson juga sudah mengisytiharkan secara rasmi kemerdekaan republik itu pada 30 Mei 2019 lagi.

Memetik The Economic Times, Verdis terletak di sebidang hutan seluas 0.5 kilometer persegi yang dikenali di peta sebagai “pocket three”. Kawasan itu kekal tidak dituntut oleh sama ada Croatia mahupun Serbia akibat pertikaian sempadan yang tidak dapat diselesaikan.
Jackson memberitahu agensi berita SWNS bahawa dia mendapati kawasan itu secara teknikalnya tidak dimiliki dan memutuskan untuk bertindak atas idea yang mula-mula terlintas di fikirannya semasa dia masih remaja.
“Verdis ialah idea yang saya dapat semasa saya berumur 14 tahun,” kata Jackson. “Pada mulanya ia hanya satu percubaan dengan beberapa orang kawan. Kita semua pernah bermimpi untuk mencipta sesuatu yang gila.”
Jackson, seorang pereka digital yang menjana pendapatan melalui platform Roblox, mula membentuk kerajaan Verdis ketika berusia 18 tahun dan kini sudah berusia 21 tahun.
“Kami mula jadikan Verdis satu realiti semasa saya berumur 18 tahun dengan merangka beberapa undang-undang dan mencipta bendera.
“Kini kami membentuk kerajaan dan mempunyai kabinet menteri yang hebat,” katanya.
Verdis menggunakan Bahasa Inggeris, Croatia dan Serbia sebagai bahasa rasmi serta Euro sebagai mata wang.
Walaupun negara itu hanya boleh diakses melalui bot dari bandar Osijek, cubaan untuk menetap di sana berdepan dengan tentangan hebat.