Jalan Petaling di Kuala Lumpur berjaya tersenarai antara 10 jalan paling menarik di dunia dalam senarai yang diterbitkan oleh majalah global, Time Out, baru-baru ini.

Menurut Time Out, Jalan Petaling atau lebih dikenali sebagai Petaling Street berada di tangga keenam dan menjadi satu-satunya jalan di Asia Tenggara yang berjaya memasuki senarai tersebut.

Sumber Gambar: Malaysia

Menerusi laporan CNN, Time Out mengambil kira beberapa kriteria sebelum merumuskan 10 kedudukan teratas Jalan Paling Menarik Di Dunia.

Kriteria-kriteria yang diambil kira antaranya adalah seperti jumlah restoran, kafe, bar dan barang-barang jualan yang tidak didapati di lokasi lain.

Time Out juga turut mengambil kira faktor budaya dan tarikan pada waktu malam yang ditawarkan di jalan-jalan berkenaan.

Time Out berkata, walaupun Jalan Petaling mungkin antara laluan tertua di Kuala Lumpur , namun jalan berkenaan tetap hidup dengan pelbagai aktiviti dan ragam dunia moden.

Sumber Gambar: ArrivalGuides.com

Selain menjadi lokasi kepada kuil tertua di KL, Jalan Petaling juga merupakan lokasi utama restoran-restoran yang dikunjungi penggemar kepada pelbagai juadah tempatan yang enak-enak.

Antara tarikan utama di Jalan Petaling tentunya Chinatown dimana para pengunjung boleh membeli pelbagai cenderahati yang sukar ditemui di lokasi-lokasi lain dan mereka sempat berseloroh tentang penjualan barangan berjenama tiruan.

Sumber Gambar: highstreetarmadele

Sementara itu, High Street di Melbourne, Australia muncul sebagai jalan paling menarik di dunia dalam terbitan kali ini.

Menurut Time Out, jalan berkenaan terkenal dengan pelbagai aktiviti dan hidup 24 jam. Pengunjung boleh menemui pelbagai restoran yang menawarkan makanan-manakan di serata dunia. Selain itu, jalan berkenaan juga tidak lekang dengan pelbagai aktiviti seni dan hiburan.

Sumber Gambar: Time Out

Manakala kedudukan kedua pula dihuni oleh Hollywood Road di Hong Kong. East Eleventh di Austin di Amerika Syarikat muncul sebagai jalan ketiga paling menarik di dunia.

Sumber Gambar: Lonely Planet

Di tempat keempat diduduki oleh Guatemala Street, Buenos Aires di Argentina dan kelima diisi dengan Commercial Drive, Vancouver di Kanada.

Baki lain yang melengkapi senarai 10 teratas adalah Rua da Boavista, Lisbon di Portugal (7), Arnaldo Quintela, Rio de Janeiro di Brazil (8), Chazawa-dori, Tokyo di Jepun (9) dan Consell de Cent, Barcelona di Sepanyol (10).

Sumber