Petroliam Nasional Bhd (Petronas) dan kontraktor pengaturan petroleumnya mencatatkan 19 penemuan penerokaan dan dua kejayaan penilaian lanjutan cari gali, menyumbang lebih satu bilion tong minyak setara sumber baharu untuk Malaysia pada 2023.
Dalam satu kenyataan baru-baru ini, syarikat minyak negara itu berkata, kejayaan berkenaan hasil daripada program cari gali yang dipergiatkan dalam beberapa tahun kebelakangan ini, yang menyaksikan penggalian 25 telaga, jumlah tertinggi dalam masa setahun sejak 2015.
Baca Juga:
- SIC Kini Dikenali Sebagai Litar Antarabangsa PETRONAS Sepang
- Didakwa ‘Pilih Bulu’ Beri Pasangan Mat Saleh Potong Barisan, Pengurusan Menara Petronas Mohon Maaf
Difahamkan lebih separuh daripada penemuan itu berada dalam Lembangan Sarawak, terutamanya dalam dua kelompok di wilayah geologi Balingian dan Luconia Barat.
“Antara penemuan yang utama ialah Gedombak-1, Sinsing-1, Machinchang-1 dan Mirdanga-1 oleh Petronas Carigali Sdn Bhd, serta Babadon-1 dan Chenda-1 oleh PTTEP Thailand,” katanya.
Naib Presiden Kanan Pengurusan Petroleum Malaysia (MPM) Petronas Mohamed Firouz Asnan berkata, kejayaan penerokaan yang ketara itu mengesahkan kepercayaannya terhadap potensi tinggi lembangan Malaysia yang sudah matang.
Semua ini boleh dicapai dengan menggunakan data seismik 3D baharu dan teknologi perisian terkini bagi mengesan potensi hidrokarbon yang lebih dalam dengan lebih baik.
Pihaknya menyokong penuh penggunaan strategi penerokaan baharu oleh rakan kongsi mereka yang menumpukan potensi berdekatan dengan lapangan, yang akan membolehkan pengewangan lebih cepat bagi penemuan itu.