Petroliam Nasional Bhd (PETRONAS) telah mengeluarkan satu kenyataan rasmi berhubung kembalinya acara Formula 1 (F1) ke Malaysia.
Memetik kenyataan rasmi, PETRONAS menghargai keterujaan serta keghairahan orang ramai berhubung penganjuran perlumbaan Formula 1 Gulf Air Bahrain Grand Prix di Litar Antarabangsa Sepang yang dijadualkan berlangsung pada 2 hingga 4 Oktober 2026.
Syarikat minyak dan gas negara itu bagaimanapun tampil membuat penjelasan rasmi bagi mengelakkan sebarang kekeliruan dalam kalangan peminat serta orang awam berhubung pengurusan litar dan urusan penjualan tiket acara berkenaan.
“PETRONAS adalah memegang hak penamaan bagi Litar Antarabangsa Sepang, pemilikan litar tersebut adalah di bawah Sepang International Circuit Sdn. Bhd., iaitu sebuah syarikat milik Menteri Kewangan Diperbadankan (MKD). Manakala dari segi pengoperasian, litar berkenaan dikendalikan oleh agensi di bawah Kementerian Belia dan Sukan (KBS).
“Disebabkan PETRONAS bukan penganjur bagi acara perlumbaan tersebut, pihak syarikat menegaskan bahawa ia tidak menguruskan, mengawal, atau mempunyai sebarang akses terhadap peruntukan, jualan, mahupun pengedaran tiket,” jelasnya.
Tambah PETRONAS lagi, segala urusan penjualan tiket adalah dikendalikan sepenuhnya oleh pihak penganjur acara serta saluran-saluran rasmi yang telah diiktiraf sahaja.
Orang awam yang berhasrat untuk menghadiri perlumbaan tersebut dinasihatkan agar mendapatkan maklumat dan membuat pembelian menerusi saluran penganjur yang sah.