Sarawak terus mengorak langkah proaktif memperkukuh kedudukannya sebagai hab teknologi kecerdasan buatan (AI) dan infrastruktur digital serantau menerusi pemeteraian kerjasama strategik membabitkan SoftBank Group Corp., Grab Holdings Limited, dan Petroleum Sarawak Berhad (PETROS).

Kerjasama tersebut dimeterai menerusi satu Perjanjian Rangka Kerja yang ditandatangani ketiga-tiga entiti bagi meneroka pembangunan platform AI serta infrastruktur digital di Sarawak, sekali gus memperluas penyertaan negeri itu dalam sektor ekonomi teknologi bernilai tinggi, petik Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS).

Majlis menandatangani perjanjian yang berlangsung di Kompleks Satria Pertiwi pada Khamis disaksikan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg.

Dokumen perjanjian tersebut ditandatangani oleh Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif SoftBank Group Corp., Masayoshi Son; Pengerusi Kumpulan, Ketua Pegawai Eksekutif merangkap Pengasas Bersama Grab, Anthony Tan; serta Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PETROS, Dato Janin Girie.

Menerusi rangka kerja tersebut, ketiga-tiga pihak akan menilai serta merangka pelan hala tuju pembangunan platform AI dan infrastruktur digital di Sarawak secara berfasa.

Inisiatif terbabit merangkumi penerokaan pengkomputeran dan perkhidmatan AI, teknologi termaju, robotik, pembangunan tenaga kerja tempatan, serta penyertaan komuniti bagi membina keupayaan sokongan industri berteknologi tinggi.

Di bawah pakatan ini, SoftBank akan menyumbang kepakaran dalam infrastruktur AI, pengkomputeran termaju, semikonduktor, dan AI fizikal. Grab pula akan memanfaatkan kepakaran aplikasi AI serta ekosistem digitalnya yang meluas di Asia Tenggara.

Sementara itu, PETROS akan memanfaatkan pengalamannya mengurus sumber tenaga Sarawak bagi memacu pertumbuhan ekonomi menerusi Pelan Hala Tuju Gas Sarawak, selain peranannya sebagai pemaju induk Hab Rendah Karbon Kuching (KLCH).

Kerjasama strategik ini bukan sahaja menyokong aspirasi Sarawak untuk beralih kepada ekonomi berteraskan teknologi bernilai tinggi, malah memperkukuh daya tarikan negeri itu sebagai destinasi utama pelaburan infrastruktur AI.

Usaha ini secara langsung menyokong matlamat Sarawak mencapai status ekonomi berpendapatan tinggi menjelang 2030 di bawah Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030).

Pada masa sama, inisiatif berkenaan turut melengkapi agenda ekonomi digital negara di bawah kerangka Ekonomi MADANI dan Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK13), di samping menyokong peluasan kesalinghubungan menerusi inisiatif Jalinan Digital Negara (JENDELA).

Gabungan tenaga lestari, kepakaran digital dan modal insan ini dijangka memacu fasa pembangunan ekonomi Sarawak seterusnya serta membuka peluang pelaburan baharu yang bernilai tinggi.

Sumber