Batalion 9 Pasukan Gerakan Am (PGA) berjaya mematahkan cubaan seludup sebuah motosikal Yamaha RX-Z dari Thailand menggunakan kereta di Kampung Banggol Kulim di sini, tengah hari semalam.

Tangkapan dan rampasan itu dibuat selepas pihaknya menahan sebuah kereta menggunakan nombor plat Thailand dalam keadaan mencurigakan, lapor Harian Metro.

Komander Briged Tenggara PGA, Datuk Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata, pemeriksaan mendapati sebuah motosikal RX-Z bernilai RM10,000 ditemukan di dalam kereta terbabit, yang dipercayai diseludup masuk dari Thailand.

“Pemandu seorang lelaki berusia 31 tahun gagal mengemukakan dokumen pemilikan yang sah dan tidak dibawa masuk ke Malaysia melalui Jabatan Kastam.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 135(1)(e) Akta Kastam 1967 dan hasil rampasan dibawa ke Komtak Taman Bakti untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

Beliau berkata, PGA akan terus mempergiat usaha bagi mengekang kegiatan penyeludupan dari terus berleluasa di sempadan negara.