Tiga pemain dipilih sebagai kapten Malaysia dalam saingan Piala Mitsubishi Electric ASEAN 2024 yang akan bermula pada 8 Disember ini.

Menurut pengumuman yang dikeluarkan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), tiga pemain yang dimaksudkan ialah Dominic Tan, Syamer Kutty Abba dan Syafiq Ahmad.

Baca Juga:

Tiga pemain mendapat kepercayaan dari ketua jurulatih pasukan, Pau Marti Vicente bagi memegang jawatan sebagai kapten Malaysia dan membimbing rakan sepasukan yang lain dalam saingan edisi kali ini.

Tonggak utama Penang, Syamer Kutty Abba telah mengumpul sebanyak 38 penampilan sepanjang bersama skuad senior negara dengan telah menjaringkan dua gol sejak 2017.

Dominic pula tampil konsisten bersama skuad kebangsaan di bahagian pertahanan dan setakat ini pemain Sabah itu telah membuat sebanyak 33 penampilan.

Syafiq Ahmad pula merupakan antara pemain senior dalam pasukan dimana penyerang Kedah Darul Aman itu membuat 41 penampilan dan menyumbang 10 jaringan setakat ini.

Saingan Piala Mitsubishi Electric ASEAN 2024 merupakan tugasan terakhir ketua jurulatih, Pau Marti Vicente bersama skuad Harimau Malaya.

“Saya ingin memaklumkan bahawa Piala Mitsubishi Electric ASEAN 2024 akan menjadi tugasan terakhir saya sebagai ketua jurulatih Harimau Malaya.

“Keputusan ini dibuat susulan komunikasi dengan FAM, berhubung penstrukturan semula Pengurusan Pasukan Kebangsaan. Sebagai sebahagian daripada penstrukturan semula ini, ketua jurulatih dan barisan kejurulatihan Harimau Malaya yang baharu akan dilantik untuk kempen Kelayakan Piala Asia 2027 mulai tahun depan.

“Berikutan itu, saya dan barisan kejurulatihan akan menamatkan perkhidmatan kami bersama skuad Harimau Malaya pada akhir kempen Piala Mitsubishi Electric ASEAN.

“Adalah satu yang menyeronokkan untuk meneruskan perjalanan ini bersama-sama, kerana kami telah mengharungi tiga tahun yang menakjubkan di Malaysia yang dipenuhi dengan kenangan yang tidak dapat dilupakan. Walaupun ia tidak akan mungkin, Pasukan Kebangsaan kita akan terus bermain untuk mempertahankan maruah Malaysia.

“Saya mahu pemain, terutamanya prospek muda menikmati kejohanan ini dan suasana luar biasa di Bukit Jalil bersama penyokong kami. Mendapat sokongan mereka akan menjadi penghargaan terbesar kepada kami. Saya memberi jaminan bahawa penyokong akan menikmati aksi pasukan dalam kejohanan terakhir kami ini.

“Marilah kita bersama-sama dan berikan yang terbaik untuk pasukan ini,” katanya.