Federasi Bola Sepak ASEAN (AFF) dan penaja utama, Mitsubishi Electric hari ini melancarkan logo dan identiti baharu kejohanan Piala AFF pada tahun ini.

Saingan Piala AFF Mitsubishi Electric 2024 (edisi 15) dijadualkan berlangsung pada 23 November hingga 21 Disember 2024 melibatkan 10 pasukan Asia Tenggara.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Baca Juga:

Ia ibarat Piala Dunia versi Asia Tenggara dan setiap perlawanan sentiasa berlangsung sengit untuk merebut gelaran sebagai Raja Bola Sepak di rantau ini.

Menurut kenyataan rasmi, logo baharu kali ini mengabungkan 3 elemen grafik utama – trofi Kejohanan AFF yang dinamakan Mitsubishi Electric Cup, bentuk perisai dan penggunaan corak yang melambangkan penyatuan ASEAN.

Terdapat juga rekabentuk bintang pada logo trofi yang menggunakan 5 warna sebagai simbol penyatuan dan ikatan 12 Persatuan Ahli AFF dalam semangat persaingan mereka.

“Logo baharu itu memberikan identiti visual yang berbeza, bertujuan dan bermakna. Antara lain, ia mencerminkan semangat dan keghairahan peminat bola sepak ASEAN untuk acara bola sepak terbesar di Asia Tenggara.

“Logo baharu ini juga menjelmakan solidariti yang tidak dapat dipecahkan, semangat pantang menyerah, kepelbagaian budaya dan berkongsi semangat untuk bola sepak di rantau kita,” kata Mej Jeneral Khiev Sameth, Presiden AFF.

Difahamkan Majlis undian rasmi kejohanan ini akan diadakan pada bulan Mei di Hanoi dengan 10 pasukan bakal diundi dalam dua kumpulan.

Hanya dua pasukan teratas dalam kumpulan akan mara ke peringkat separuh akhir dengan format ‘Home’ dan ‘Away’. Harimau Malaya dijangka akan menghantar ‘skuad kedua’ ke kejohanan ini.