Vietnam menempah tempat ke pentas final Piala ASEAN Mitsubushi Electric 2024 selepas menewaskan Singapura 3-1 pada aksi yang berlangsung di Stadium Wilayah Phu Tho, sebentarĀ tadi.
Kejayaan di laman sendiri itu memastikan agregat 5-1 buat Vietnam selepas skuad ‘Pahlawan Bintang Emas’ itu menang 2-0 ketika aksi pertama di Singapura.
Baca Juga:
- Piala ASEAN 2024: Penyokong Singapura Kecewa Separuh Akhir Diadakan Di Stadium Jalan Besar
- Jadual Penuh Aksi Separuh Akhir Piala ASEAN 2024
- Piala ASEAN 2024: Tewas Di Tangan Filipina, Indonesia Turut Gagal Ke Separuh Akhir
Ia merupakan final kelima buat Vietnam yang merupakan juara dua kali kejohanan iaitu pada edisi 2008 dan 2018.
Perlu memadamkan kelebihan dua gol dimiliki Vietnam, Singapura memulakan aksi dengan baik apabila memberikan tekanan buat kubu tuan rumah yang dikepalai penjaga gol, Nguyen Dinh Trieu.
Malah sepanjang aksi berlangsung, Singapura juga turut mendominasi sebahagian besar permainan.
Segalanya tampak berada di landasan tepat buat anak buah Tsutomu Ogura itu pada minit ke-10 tetapi jaringan Faris Ramli dibatalkan selepas beliau dikesan berada dalam kedudukan ofsaid.
Tersentak dengan tekanan tersebut, Vietnam tampil lebih baik dan hampir berada dihadapan berselang 10 minit kemudian menerusi Chau Ngoc Quang.
Tandukan Ngoc Quang yang sudah membocori gawang Singapura dibatalkan kerana beliau terlebih dahulu mengasari pertahanan lawan.
Jaringan yang dinantikan kem Vietnam hadir pada masa kecederaan babak pertama apabila Nguyen Xuan Son mudah menyempurnakan sepakan penalti.
Sepakan tersebut diberikan selepas pemainĀ naturalisasi Vietnam itu dikasari pemain pertahanan, Lionel Tan dalam kawasan penalti.
Gol kedua tuan rumah hadir pada minit ke-63 selepas hantaran lintang Nguyen Huang Doc selepas beliau melakukan gerakan solo dalam kawasan penalti mudah ditolak masuk Ngoc Quang.
Memasuki minit ke-74, Kyoga Nakamura merapatkan defisit jaringan tetapi Nguyen Tien Lienh menambah gol ketiga buat Vietnam pada masa kecederaan untuk menutup terus peluang Singapura untuk bangkit.
Vietnam akan menanti pemenang antara Filipina dan Thailand yang beraksi malam esok. Pada aksi pertama di Manila tempoh hari, Filipina berjaya mencatatkan kemenangan 2-1.