Malaysia meraih kemenangan penting pada aksi pembukaan Piala ASEAN FIFA 2026 selepas menundukkan Bangladesh 3-0 di Gelora Bung Karno, Jakarta sebentar tadi.

Ketua jurulatih, Tan Cheng Hoe meletakkan trio baharu iaitu Bergson da Silva, Manuel Hidalgo dan Bradd Tapp di kesebelasan utama yang turut dibarisi Haziq Nadzli, Dion Cools, La’vere Corbin-Ong, Quentin Chen, Stuart Wilkin, Nooa Laine, Arif Aiman Hanapi dan Faisal Halim.

Permulaan Baik Buat Malaysia

Barisan terkuat itu membolehkan kem negara menguasai sebahagian besar permainan dan mereka hampir membuka tirai jaringan seawal minit keempat.

Piala ASEAN FIFA 2026: Malaysia Buka Kempen Dengan Kemenangan 3-0 Ke Atas Bangladesh
Kredit Foto: Malaysia NT

Bagaimanapun, percubaan dari luar kawasan penalti oleh Faisal Halim berjaya ditepis keluar penjaga gol Bangladesh, Mehedi Hasan Srabon.

Gol pembukaan skuad negara hadir pada minit ke-18 selepas Arif Aiman yang menerima hantaran jauh cantik dari Nooa Laine dengan tenang menolak masuk bola untuk meletakkan Malaysia dihadapan.

Berselang tujuh minit kemudian, giliran Bergson menguji gawang lawan namun ledakannya dari luar kawasan penalti hanya sedikit tersasar di sebelah kiri pintu gol.

Malaysia menambah jaringan kedua pada minit ke-37 selepas kesilapan Shakil Ahad Topu gagal mengawal bola dengan baik di kawasan sendiri memberikan ruang buat Stuart Wilkin untuk merampas bola lalu melakukan lorongan kepada Arif Aiman.

Pemain lincah itu kemudiannya tidak berdepan masalah untuk menewaskan Srabon bagi menjadikan kedudukan 2-0.

Piala ASEAN FIFA 2026: Malaysia Buka Kempen Dengan Kemenangan 3-0 Ke Atas Bangladesh
Kredit Foto: Malaysia NT

Memasuki minit ke-52, Bergson berjaya mendapatkan jaringan pada debutnya apabila percubaan hasil ‘turning’ dilakukannya disudahkan dengan percubaan leret untuk melebarkan cengkaman buat skuad negara.

Aksi selepas itu skuad negara terus mengasak walaupun Cheng Hoe membuat beberapa percubaan, tetapi Srabon tidak mahu gawangnya terus dibolosi untuk keputusan penuh memihak Malaysia dengan 3-0.

Skuad negara selepas ini akan berdepan tuan rumah, Indonesia yang kini di ranking ke-118 dunia di Gelora Bung Karno pada Isnin, 28 September 2026, 8.30 malam.