Australia melangkah ke suku akhir Piala Asia 2023 selepas mudah menundukkan Indonesia 4-0 pada aksi pusingan 16 yang berlangsung di Jassim Bin Hamad Stadium, sebentar tadi.
Indonesia yang melakar sejarah pertama kali mara ke pusingan 16 bagaimanapun bermula baik dengan serangan dijelmakan pada minit-minit awal permainan.
Baca Juga:
- Piala Asia 2023: Jepun Ke Pusingan 16, Atasi Indonesia 3-1
- Piala Asia 2023: Australia Raih Kemenangan, Atasi India 2-0
- Piala Asia 2023: Senarai Lengkap Pasukan Ke Pusingan 16
Ia jelas dibuktikan apabila anak buah Shin Tae-yong itu hampir membuka tirai seawal minit keenam. Tetapi, kuisan Rafael Stuick setelah menerima hantaran lintang Justin Hubner hanya sedikit melewati palang.
Tersentak dengan tekanan tersebut, Australia memperkemaskan aksi dan berjaya membuka tirai jaringan menerusi jaringan sendiri Elkan Baggot.
Berpunca daripada hantaran lintang Jackson Irvine, bola membias terkena kaki Baggot yang menyaksikan penjaga gol, Ernando Ari tersilap langkah lalu bola membolosi gawangnya.
Satu-satunya percubaan tepat yang dijelmakan Indonesia adalah pada minit ke-23 menerusi percubaan jarak jauh Hubner yang mudah ditangkap Matthew Ryan.
Australia mendapatkan jaringan kedua pada minit ke-45 apabila Martin Boyle yang tidak dikawal pertahanan Indonesia menanduk masuk bola hasil hantaran lintang Gethin Jones.
Meskipun perlawanan seimbang pada babak kedua, barisan pemain tengah dan pertahanan Australia langsung tidak membenarkan Indonesia melakukan sebarang serangan ke kubu mereka.
Australia kemudiannya mengambil kesempatan atas kelalaian jentera pertahanan Indonesia untuk menambah dua lagi jaringan pada lewat permainan menerusi Craig Goodwin (minit ke-89) dan tandukan Harry Souttar (minit ke-91) untuk mengesahkan kemenangan selesa buat Socceroos.
Menanti Australia di suku akhir adalah pemenang aksi Arab Saudi yang akan bertemu Korea Selatan.