Australia membuka kempen Piala Asia 2023 dengan nota kemenangan selepas berjaya menundukkan India 2-0 pada aksi kumpulan B yang berlangsung di Al Rayyan Stadium, Qatar sebentar tadi.

Membariskan sebahagian besar pemain yang berpengkalan di Eropah menyaksikan skuad kendalian Graham Arnold itu mendominasi permainan sebaik aksi dimulakan pengadil dari Jepun, Yoshimi Yamashita.

Baca Juga:

Peluang terbaik Australia hadir pada minit ke-12 menerusi Martin Boyle, tetapi tandukan terbang dilakukannya dalam kawasan penalti setelah menerima umpanan rakan sepasukannya diselamatkan penjaga gol India, Gurpreet Singh Sandhu.

Berselang tiga minit kemudian, giliran Sunil Chhetri pula mengancam kubu Australia tetapi tandukannya berikutan kegagalan pemain pertahanan, Harry Souttar mengeluarkan bola dari kawasan bahaya hanya sedikit tersasar di sebelah kanan pintu gol.

Kesilapan Gurpreet Singh ketika cuba melakukan hantaran kepada rakan sepasukannya dalam kawasan sendiri hampir dihukum Australia pada minit ke-20, bagaimanapun penjaga gol berusia 31 tahun itu cemerlang menafikan rembatan daripada Connor Metcalfe.

Jaringan yang dinantikan kem Australia hadir pada minit ke-50 apabila hantaran lintang Boyle gagal dikeluarkan dengan baik oleh Gurpreet.

Kesempatan itu diambil dengan baik oleh Jackson Ervine untuk melakukan percubaan yang berjaya membolosi gawang India sekali gus meletakkan Australia di hadapan.

Jaringan tersebut jelas menyemarakkan lagi semangat para pemain Australia dan pertukaran dilakukan Arnold nyata membuahkan hasil.

Berpunca daripada gerakan lincah pemain gantian, Riley McGree di sebelah kiri pintu gol India, beliau kemudiannya melakukan lorongan kepada Jordan Bos yang tidak dikawal pemain pertahanan lawan.

Bos yang turut masuk sebagai pemain gantian tidak mensia-siakan peluang untuk menolak masuk bola bagi menjadikan kedudukan 2-0.

Socceroos berusaha keras untuk menambah jaringan tetapi kedudukan tersebut sudah cukup untuk menghadiahkan tiga mata penuh buat mereka.