Indonesia berjaya meraih kemenangan dalam aksi kedua kumpulan D Piala Asia 2023 selepas menundukkan Vietnam 1-0 pada perlawanan yang berlangsung di Abdullah bin Khalifa Stadium, sebentar tadi.
Jaringan tunggal menerusi sepakan penalti oleh ketua pasukan, Asnawi Mangkualam pada lewat babak pertama tersebut sudah cukup buat skuad kendalian Shin Tae-yong itu untuk meraih tiga mata penuh.
Baca Juga:
- Piala Asia 2023: Iraq Lakar Kejutan Tundukkan Jepun
- Piala Asia 2023: Atasi Tajikistan 1-0, Qatar Sahkan Kemaraan
- Piala Asia 2023: Ramalan Kesebelasan Utama Malaysia Menentang Bahrain
Kemenangan penting yang meletakkan Indonesia kini terikat mata bersama Jepun tetapi berada di kedudukan ketiga susulan kelebihan defisit jaringan dimiliki negara matahari terbit itu.
Tewas pada aksi pembukaan menentang Iraq menyaksikan Indonesia bermula dengan cukup garang apabila mendapat peluang terbaik seawal minit pertama.
Berpunca daripada lorongan baik Ivar Jenner kepada Rafael Struick yang pantas menuju ke dalam kawasan penalti Vietnam. Namun, percubaan penyerang tersebut diselamatkan penjaga gol, Filip Nguyen.
Struick kemudiannya mendapat peluang dalam kawasan penalti tetapi rembatannya selepas melakukan ‘turning’ cantik sedikit tersasar.
Vietnam yang mempunyai reputasi hebat di Asia Tenggara (ASEAN) dilihat cukup bergelut untuk merobek gawang lawan susulan disiplin tinggi dipamerkan pertahanan Indonesia.
Sebaliknya, Indonesia pula tampil dengan lebih kemas dan beberapa menguji gawang Vietnam terutamanya menerusi Sandy Walsh dimana dua percubaannya diselamatkan Filip Nguyen.
Kem Indonesia melonjak kegembiraan pada minit ke-42 apabila Asnawi tidak mensia-siakan peluang sepakan penalti yang dihadiahkan pengadil perlawanan, Sadullo Gulmurodi.
Sepakan itu diberikan susulan tindakan Nguyen Thanh Binh menarik Struick dalam kawasan penalti.
Disiplin tinggi barisan pertahanan Indonesia pada babak kedua jelas terserlah walaupun Vietnam berusaha keras untuk mendapatkan jaringan penyamaan.
Tekanan hebat diberikan Vietnam yang menguasai permainan diserap dengan begitu baik pemain pertahanan Indonesia bagi mengelakkan gawang mereka daripada dibocori.
Skuad kendalian Phillipe Troussier kemudiannya terpaksa beraksi dengan 10 pemain selepas Le Thanh Phong diperintahkan keluar padang berikutan kad kuning kedua diterimanya.
Kedudukan 1-0 itu kekal hingga tamat permainan untuk menghidupkan peluang Indonesia bagi mengintai peluang mara ke pusingan 16 terbaik.