Pemain tengah Johor Darul Ta’zim (JDT), Hong Wan menegaskan beliau bersedia sekiranya dipanggil oleh ketua jurulatih skuad kebangsaan, Kim Pan-gon untuk beraksi dalam saingan Piala Asia 2023.

Hong baru-baru ini membantu JDT memenangi trofi keempat dalam saingan liga domestik musim ini dimana mereka menewaskan Terengganu dengan keputusan 3-1 dalam aksi final Piala Malaysia.

Baca Juga:

Ketika ditemu bual selepas perlawanan, Hong memberi ulasan mengenai gandingannya bersama Afiq Fazail dan peluang untuk beraksi dalam temasya Piala Asia 2023.

“Saya dan Jambu (Afiq) bergandingan dengan sangat baik. Kami memahami satu sama lain dengan cukup bagus. Dia membolehkan permainan mudah untuk dijalankan dan dia merupakan pemain yang mempunyai kelas tersendiri. Satu penghormatan untuk beraksi bersama dia.

“Sudah tentu saya gembira di sini. Saya mahu menampilkan prestasi terbaik untuk pasukan dan jurulatih. Sekiranya Pan-gon mahu memanggil saya, maka dia akan panggil. Kalau tidak, mungkin pada masa akan datang,” katanya.

Hong Wan merupakan salah satu pemain yang menjadi idaman peminat bola sepak tanah air bagi mengisi barisan tengah selain Afiq Fazail selepas menampilkan prestasi terbaik bersama JDT musim ini.

Ketika aksi persahabatan antarabangsa, kejohanan Pestabola Merdeka 2023 dan kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027, bahagian tengah negara diisi oleh pemain seperti Nooa Laine, Endrick Dos Santos, Brendan Gan, Stuart Wilkin dan Afiq Fazail.

Pan-gon dijangka menyenaraikan barisan pemain yang akan dibawa ke Qatar bagi menghadapi temasya Piala Asia 2023 pada Januari nanti.