Jepun bangkit daripada kekecewaan minggu lalu untuk menewaskan Indonesia 3-1 pada aksi terakhir kumpulan D Piala Asia 2023 yang berlangsung di Al-Thumama Stadium, sebentar tadi.

Kemenangan itu menyaksikan Jepun menamatkan peringkat kumpulan selaku naib juara, ketinggalan tiga mata dibelakang Iraq yang mengumpul sembilan mata.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Baca Juga:

Manakala, Indonesia yang berada di tempat ketiga perlu menunggu hingga tamat peringkat kumpulan sama ada mereka akan layak sebagai empat pasukan terbaik di kedudukan tersebut atau terpaksa pulang Jakarta dengan lebih awal.

Kesilapan Jordi Amat yang memeluk Ayase Ueda dalam kawasan penalti dalam usaha menghalang pergerakan penyerang tersebut jelas memakan diri.

Keadaan itu menyebabkan pengadil perlawanan dari Qatar, Khamis Mohamed Al-Marri melakukan rujukan Video Assistant Referee (VAR) dan menghadiahkan sepakan penalti buat Jepun.

Ueda yang mengambil sepakan pada minit keenam tidak berdepan masalah untuk menewaskan Ernando Ari Sutaryadi walaupun penjaga gol itu dapat membaca arah sepakan.

Mendominasi permainan sejak dari awal menyaksikan Jepun hampir mendapatkan jaringan kedua pada minit ke-35 menerusi Keito Nakamura. Namun, percubaan Nakamura yang hanya mampu dipandang Ernando itu sekadar singgah di tiang gol.

Gol kedua skuad kendalian Hajime Moriyasu itu hadir pada minit ke-52 apabila Ueda yang tidak dikawal pemain pertahanan Indonesia mudah menolak masuk bola hasil hantaran lintang Ritsu Doan dalam kawasan penalti.

Penguasaan berterusan ditampilkan Jepun menyaksikan pemain pertahanan, Justin Hubner tertampan bola ke gawang sendiri dalam usahanya untuk menghalang percubaan Ueda pada minit ke-88.

Sandy Walsh akhirnya berjaya mendapatkan jaringan saguhati buat Indonesia pada masa kecederaan untuk perlawanan berkesudahan 3-1 memihak Jepun.