Segalanya serba tidak menjadi buat Malaysia pada babak pertama hingga menyebabkan skuad negara tumbang 0-4 ditangan Jordan pada aksi sulung kumpulan E Piala Asia 2023 yang berlangsung di Al Janoub Stadium, Doha sebentar tadi.

Ketika harapan menggunung disandarkan untuk melakukan kejutan, barisan pemain negara jelas tidak berada di tahap terbaik dan kelihatan agak kaku dan gugup terutamanya pada 30 minit awal permainan dengan taktikal ‘bek bertiga’.

Baca Juga:

Kesempatan itu digunakan sepenuhnya Jordan yang bijak merangka serangan-serangan berbahaya bagi menjerat anak buah Kim Pan-gon.

Ia dimulakan dengan jaringan pembukaan pada minit ke-12 menerusi percubaan melencong dari luar kawasan penalti oleh Mahmoud Al-Mardi yang membuatkan Ahmad Syihan Hazmi terkapai-kapai gagal menghalang gawangnya daripada dibolosi.

Kedudukan berubah berselang enam minit kemudian selepas Mousa Al-Taamari menyempurnakan sepakan penalti yang diberikan ekoran kekasaran dilakukan Matthew Davies terhadap Yazan Al-Naimat.

Al-Taamari sekali lagi menemui sentuhan jaringan pada minit ke-25 hasil rembatan padu dalam kawasan penalti tetapi gol tersebut dibatalkan Video Assistant Referee (VAR).

Garisan tinggi dimainkan pertahanan negara terus dihukum pada minit ke-32 apabila Mousa Al-Taamari melepasi perangkap ofsaid lalu menewaskan Ahmad Syihan untuk melorongkan bola buat Mahmoud Al-Mardi.

Bekas pemain import Kedah itu tidak mensia-siakan peluang untuk menolak masuk bola walaupun terdapat asakan daripada Arif Aiman Mohd Hanapi bagi menjadikan kedudukan 3-0.

Pertembungan dengan Arif itu menyaksikan Al-Mardi terus dikeluarkan kerana mengalami kecederaan.

Tersentak dengan tiga gol tersebut, para pemain negara sedikit memperbaiki aksi dan mendapat peluang terbaik pada masa kecederaan babak pertama menerusi rembatan dari jarak jauh dilakukan Stuart Wilkin.

Percubaan pemain tengah itu bagaimanapun hanya sedikit tersasar di sebelah kanan pintu gol Jordan yang dikawal Yazeed Abulaila.

Enggan terus ditekan pada babak kedua, skuad negara tampil lebih meyakinkan dan mempamerkan sedikit peningkatan berbanding 45 minit pertama dimana Pan-gon memasukkan Shahrul Saad bagi menggantikan Darren Lok.

Malaysia berpeluang untuk merapatkan defisit jaringan pada lewat permainan menerusi duo gantian, Paulo Josue dan Safawi Rasid tetapi Yazeed bertindak cemerlang menafikan dua percubaan jarak jauh itu.

Ketika skuad Malaysia semakin bernafsu untuk mendapatkan jaringan, Mousa Al-Taamari menghukum kealpaan barisan pertahanan yang melakukan percubaan lambung menewaskan Syihan pada minit ke-85 berpunca daripada serangan balas pantas bagi mengesahkan kemenangan empat gol tanpa balas buat Jordan.