Skuad Harimau Malaya bakal beraksi di Stadium Sultan Ibrahim (SSI) bagi menghadapi Nepal dalam aksi kelayakan Piala Asia 2027 yang bermula pada Mac ini.

Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) memuat naik butiran perlawanan antara kedua-dua pasukan yang mana Malaysia akan beraksi di SSI pada 25 Mac ini.

Baca Juga:

Harimau Malaya
Malaysia vs Nepal

Harimau Malaya Cemerlang Di SSI

Sebelum ini, Malaysia pernah beraksi di gelanggang keramat Johor Darul Ta’zim (JDT) dimana pasukan menghadapi dua aksi persahabatan antarabangsa.

Pada Mac 2023, pasukan kebangsaan yang dibimbing oleh Kim Pan-gon ketika itu turun berdepan Turkmenistan dan Hong Kong dalam aksi persahabatan yang mana pasukan negara berjaya mencatat kemenangan.

Malaysia berjaya menewaskan Hong Kong dengan keputusan 2-0 hasil jaringan daripada Akhyar Rashid dan Faisal Halim pada separuh masa pertama.

Skuad Harimau Malaya kemudiannya mencatat kemenangan kedua ketika berdepan Turkmenistan dimana jaringan tunggal Akhyar Rashid memberikan kemenangan kepada skuad kebangsaan.

Cabaran Getir Harimau Malaya

Selain Nepal, Malaysia diundi bersama Vietnam dan Laos dalam saingan kelayakan edisi kali ini dimana cabaran getir menanti pasukan negara dalam usaha untuk layak ke temasya di Arab Saudi pada 2027 nanti.

Harimau Malaya
Peter Cklamovski

Skuad kebangsaan sedang menjalani revolusi ketika ini dimana jurulatih dari Australia iaitu Peter Cklamovski dilantik sebagai ketua jurulatih bagi menggantikan Kim Pan-gon.

Selain Peter Cklamovski, revolusi pasukan kebangsaan turut melibatkan Nafuzi Zain yang dilantik sebagai ketua jurulatih skuad B-23 Tahun negara.

Tidak cukup dengan dua jurulatih ini, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) turut melantik Rob Friend dari Kanada sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) skuad Harimau Malaya dan Dr. Craig Duncan dari Australia sebagai Ketua Prestasi Tinggi & Perubatan Sukan Pasukan Kebangsaan.

Antara penglibatan terbesar Rob Friend ialah menjadi salah seorang pengasas bersama liga bola sepak profesional Kanada, Canadian Premier League (CPL) dan berjaya meningkatkan nilai liga tersebut dari AS$0 sehingga AS$300 juta dalam tempoh enam tahun.

Dr. Craig pula merupakan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) di Performance Intelligence Agency selama 15 tahun sejak dari 2009 hingga kini yang mana beliau turut pernah menjadi Ketua Sains Sukan di Persekutuan Bola Sepak Australia (FFA) selama empat tahun dari 2014 hingga 2018.

Selain itu, Dr. Craig turut merupakan Pensyarah Kanan Senaman dan Sains Sukan di Australian Catholic University (ACU) sejak 2013 hingga kini yang mana beliau memiliki Ijazah Doktor Falsafah (PhD) Sains Sukan dan Senaman dari University of Sydney dan Ijazah Sarjana Kepimpinan dari Deakin University.