Indonesia kembali menghidupkan peluang untuk mara ke suku akhir Piala Asia bawah 23 tahun (B-23) 2024 selepas meraih kemenangan 1-0 ke atas Australia pada aksi kedua kumpulan A yang berlangsung di Stadium Abdullah Bin Khalifa, Qatar sebentar tadi.

Misi serupa kedua-dua pasukan untuk meraih kemenangan sulung menyaksikan corak permainan pantas ditampilkan sepanjang perlawanan.

Baca Juga:

Indonesia sebelum ini tumpas 0-2 kepada Qatar manakala Australia pula seri tanpa jaringan ketika pertemuan menentang Jordan.

Skuad kendalian Shin Tae-yong itu hampir membuka tirai jaringan seawal minit kedua tetapi rembatan Jeam Kelly Sroyer setelah menerima umpanan ‘cutback’ daripada Witan Sulaeman hanya sedikit melewati palang gol.

Memasuki minit ke-25, Australia terlepas peluang keemasan untuk mencipta jaringan selepas sepakan penalti Mohamed Toure diselamatkan dengan cemerlang penjaga gol Indonesia, Ernando Ari Sutaryadi.

Sepakan itu diberikan selepas percubaan Toure dari luar kawasan penalti terkena tangan pemain pertahanan, Komang Teguh Trisnanda Putra.

Komang kemudiannya muncul wira buat kem Indonesia setelah tandukannya ketika situasi sepakan penjuru pada minit ke-45 gagal diselamatkan penjaga gol, Patrick Beach bagi meletakkan skuad Garuda Muda dihadapan.

Aksi lebih menarik dijelmakan pada babak kedua terutamanya oleh anak buah Tony Vidmar yang mendominasi permainan untuk memburu jaringan penyamaan.

Namun, jentera pertahanan serta Ernando Ari cukup kental bertahan bagi menghalang unit serangan Australia untuk merobek gawang mereka bagi memastikan kemenangan 1-0 memihak Indonesia.

Satu lagi aksi kumpulan A akan berlangsung sebentar lagi yang menemukan Qatar dan Jordan.