Tumpuan kem Malaysia kini tertumpu dalam acara regu berpasukan saingan Piala Dunia Sepak Takraw 2024 yang akan memasuki peringkat suku akhir, tengah hari ini.

Masih segar dengan kejuaraan berganda acara Double dan Regu tempoh hari, barisan pemain Malaysia menyajikan aksi terbaik untuk menjuarai kumpulan C.

Baca Juga:

Selepas mudah menewaskan Brunei 3-0, anak buah Ahmad Jais Baharun itu mengenepikan pula cabaran Jepun juga dengan keputusan yang sama, malam tadi.

Ahmad Jais mempertaruhkan Muhammad Haziq Hairul Nizam selaku tekong, Amirul Zazwan Amir (pengumpan) dan perejam, Muhammad Noraizat Mohd Nordin.

Trio tersebut berjaya menumpaskan Daishi Tamaki (tekong), Ikki Mito (pengumpan) dan Yota Ichikawa (perejam) 15-13, 15-4.

Pemenang acara Regu, Mohammad Syahir Mohd Rosdi, Farhan Adam dan Mohamad Azlan Alias pula menghadiahkan mata kedua buat kem negara dengan kemenangan 15-5, 15-5 ke atas Wataru Narawa, Ryota Huruhara dan Toshitaka Naiko.

Momentum cemerlang itu diteruskan oleh gandingan ketiga negara yang dibarisi oleh Muhammad Zarif Marican Ibrahim Marican, Aidil Aiman Azwawi dan Muhammad Shahalril Aiman Halim yang menundukkan Masaki Sasamoto, Kento Nakamura serta Yuki Sato 15-5, 15-7 untuk mengesahkan kemenangan 3-0 buat Malaysia.

Malaysia akan bertemu India di peringkat suku akhir pada jam 12.00 tengah hari di Stadium Titiwangsa, Kuala Lumpur.

Sekiranya berjaya melepasi cabaran tersebut, Malaysia akan menghadapi pemenang antara Indonesia dan Myanmar di separuh akhir yang dijadualkan berlangsung 8.00 malam ini.

Dua lagi aksi suku akhir bagi acara regu berpasukan, Thailand akan berhadapan dengan Jepun manakala Korea Selatan menentang Vietnam.