Liga Bolasepak Malaysia (MFL) sekali lagi mengumumkan perubahan waktu sepak mula membabitkan aksi pusingan 16 Piala FA antara Kedah Darul Aman FC (KDA FC) Menentang Bukit Tambun FC (BTFC), pada 14 Jun ini.

Menurut kenyataan media di laman Facebook MFL, waktu sepak mula perlawanan yang berlangsung di Stadium Darul Aman itu telah ditukar daripada jam 6.30 petang kepada 9 malam.

Langkah itu dibuat selepas KDA FC membuat permohonan untuk meminda masa perlawanan demi menghormati masa dan memberi laluan kepada penyokong Sang Kenari menunaikan Solat Maghrib.

“Walaupun waktu sepak mula sebelum ini telah dipersetujui oleh kedua-dua kelab berkenaan, kemaskini ini adalah merujuk kepada sensitiviti waktu solat Maghrib di Kedah,” tulis kenyataan rasmi MFL.

Badan induk itu dikecam hebat oleh para peminat bola sepak tempatan yang mempersoalkan kewajaran memilih jam 6.30 petang sebagai waktu sepak mula.

Menurut mereka, MFL seolah-olah tidak sensitif  kerana memberi kesukaran kepada pemain dan peminat yang beragama Islam untuk menunaikan solat fardhu Maghrib sekitar pukul 7:20 malam.

Selain itu, tempoh waktu solat Maghrib yang singkat akan menyebabkan ramai penyokong tidak sempat menunaikan ibadah itu, selain berisiko berlakunya kesesakan di ruang surau apabila penyokong berpusu-pusu untuk segera solat ketika waktu rehat permainan.

Selain aksi Kedah-Bukit Tambun, perlawanan melibatkan KL City menentang Kuching City turut berlangsung pada jam 6.30 petang. Namun setakat ini, tiada sebarang perubahan untuk waktu sepak mula perlawanan tersebut.