Malaysia terus berdepan kesukaran untuk menundukkan Thailand dalam acara regu bercampuran selepas tewas 0-2 pada aksi final Kejohanan Dunia Sepaktakraw Piala Raja Thai 2025 yang berlangsung di Central Hatyai Songkhla petang tadi.
Pengalaman luas barisan pemain Thailand jelas berada di kelas tersendiri berikutan kebangkitan hebat dipamerkan walaupun kedua-dua regu mereka ketinggalan jauh pada set pertama.
Baca Juga:
- Piala Raja Thai 2025: Vietnam Kejutkan Thailand Untuk Ke Final Kuadran Lelaki

- Senarai Pemain Malaysia Beraksi Dalam Piala Raja Thai 2025

- Pemain Thailand Ini Akui Sistem Sepak Takraw Malaysia Lebih Maju Dari Negaranya Sendiri

Malaysia membariskan Mohd Haziq Hairul Nizam (tekong), Mohd Noraizat Mohd Nordin (apit kanan) dan Norfaizzul Abd Razak selaku apit kiri untuk berhadapan dengan Pornthep Tinbangbon (tekong), Sankhai Daoreang (apit kanan), Marukin Phanmakon (apit kiri).
Segalanya seperti tampak berjalan dengan baik buat skuad negara apabila mereka berjaya mendahului 11-8 pada satu ketika.

Namun, servis padu dijelmakan Pornthep yang sering kali mensasarkan kepada Noraizat nyata membuahkan hasil buat Thailand.
Ketika Malaysia mendahului 12-10, Thailand tampil dengan cukup garang untuk meraih lima mata berturut-turut sekali gus memenangi set pertama 15-12.
Set kedua menyaksikan Thailand pula memimpin permainan dan Malaysia cuba untuk bangkit pada kedudukan 9-11.
Namun, ia masih belum cukup dimana barisan pemain Thailand dengan tenang mengutip mata demi mata untuk mengesahkan mata pertama dengan kemenangan 15-12.

Thailand Terus Unggul Dalam Acara Regu Berpasukan Piala Raja Thai
Harapan kedua negara disandarkan kepada trio berpengalaman iaitu Mohd Syahir Mohd Rosdi (tekong), Mohamad Azlan Alias (apit kanan) dan apit kiri, Farhan Adam.
Tetapi lawan mereka juga bukanlah calang-calang trio kerana Thailand meletakkan barisan legenda yang terdiri daripada Siriwat Sakha (tekong), Thawisak Thongsai (apit kanan) dan Rachan Viphan (apit kiri).
Skrip yang sama berulang apabila kelebihan 11-8 dimiliki tidak digunakan sebaiknya dan Thailand mengambil peluang tersebut untuk menang 17-16.
Walaupun Syahir berjaya mendapatkan beberapa mata penting dari servisnya tetapi sembilan servis beliau tersangkut di jaring pada set pertama.
Dengan semangat yang semakin membara dalam kalangan pemain Thailand, ia turut melunturkan semangat juang pemain Malaysia hingga membolehkan tuan rumah mengesahkan kejuaraan Piala Raja Thai 2025 dengan kemenangan 15-4.
Satu keputusan yang membuatkan Malaysia terpaksa terus menanti bilakah penantian panjang sejak 35 tahun lalu akan berakhir untuk menewaskan Thailand dalam acara regu berpasukan.