Johor Darul Ta’zim (JDT) tidak terlalu berdepan masalah untuk meraih kemenangan pada aksi sulung dalam Kejohanan Kelab ASEAN (ACC) Piala Shopee 2025/26 selepas menewaskan Lion City Sailors 3-1 di Stadium Sultan Ibrahim, sebentar tadi.
Ketua jurulatih JDT, Xisco Munoz jelas memandang serius perlawanan ini apabila memilih untuk menurunkan barisan terkuatnya.
Baca Juga:
- Piala Shopee 2025/26: Kemenangan Selangor Diragut Gol Lewat Peter Zulj, Buriram Terselamat

- ACL Elite 2025/26: JDT Berdepan Cabaran Kelab Jepun Dan China

- RASMI: Joao Figueiredo Bawa Komitmen Dan Kesungguhan Kepada JDT

Kelebihan jelas memihak JDT yang tidak perlu menunggu lama untuk membuka tirai jaringan menerusi pemain warisan negara, Joao Vitor Brandao Figueiredo.
Jaringan pada minit ke-11 itu berpunca daripada sepakan penalti ekoran kekasaran dilakukan Safuwan Baharudin terhadap Jairo Da Silva.
Lima minit kemudian, Figueiredo sekali lagi menceriakan penyokong JDT selepas beliau tidak berdepan masalah untuk melakukan percubaan yang membolosi gawang Lion City Sailors ketika pertahanan lawan gagal mengeluarkan bola dari kawasan bahaya susulan hantaran lintang daripada Arif Aiman Hanapi.
Situasi yang sama hampir menghadiahkan jaringan ketiga buat JDT pada minit ke-35, namun kuisan Jairo dalam kawasan penalti berjaya ditepis keluar penjaga gol, Ivan Susak.
Lion City Sailors Cuba Saingi JDT
Lion City Sailors cuba untuk bangkit pada babak kedua dimana mereka mendapat peluang terbaik menerusi Bart Ramselaar.
Namun, tindakannya melakukan hantaran ketika sudah melepasi kawalan pertahanan dan memasuki kawasan penalti JDT sedikit laju walaupun mempunyai ruang untuk melepaskan rembatan.
Memasuki minit ke-58, Jairo mendapat peluang susulan kesilapan pertahanan lawan tetapi dua percubaannya dinafikan Susak.
Lion City Sailors hampir berpeluang menyamakan kedudukan pada minit ke-79 tetapi jaringan menerusi tandukan Diogo Costa dibatalkan selepas dikesan berada dalam kedudukan ofsaid.
Arif Aiman menghasilkan jaringan ketiga pada minit ke-93 selepas rembatannya pada masa kecederaan setelah menerima sepakan percuma pantas diambil Ignacio Mendez tidak mampu diselamatkan Susak.
Seminit kemudian, Shawal Anuar berupaya mendapatkan jaringan saguhati buat Lion City Sailors hasil rembatan dari luar kawasan penalti yang membolosi gawang JDT.