Selangor membuka tirai kempen Kejohanan Kelab ASEAN (ACC) Piala Shopee 2025/26 dengan keputusan seri selepas terikat 1-1 bertemu Buriram United pada aksi yang berlangsung di Chang Arena, Buriram sebentar tadi.
Beraksi di gelanggang lawan serta berdepan juara bertahan, ia langsung tidak dihiraukan anak-anak buah Katsuhito Kinoshi yang tampil berdisiplin terutamanya ketika bertahan.
Baca Juga:
- Piala Shopee 2025/26: Info Siaran Langsung Buriram United vs Selangor

- Chatchai Mahu Hadap JDT Di Final Piala Shopee, ‘Saya Nak Bagi Mereka Peluang Balas Dendam’

- Piala Shopee Dapat Sokongan AFC Dan FIFA

Penjaga gol, Kalamullah Al Hafiz turut memperagakan aksi cemerlang dalam menghalang gawangnya daripada dibolosi lebih banyak gol pada perlawanan ini.

Selangor dilihat lebih berbahaya pada babak pertama dengan beberapa percubaan dijelmakan ke arah pintu gol Buriram United yang dikawal Chatchai Budproom.
Zac Clough terlebih dahulu memberikan ancaman pada minit keenam menerusi sepakan percuma tetapi percubaannya hanya sedikit tersasar di sebelah kiri pintu gol tuan rumah.
Memasuki minit ke-24, Noor Al-Rawabdeh pula mendapat peluang selepas menerima ‘cutback’ daripada Quentin Cheng, namun rembatan dalam kawasan penalti dinafikan Ko Myeongseok.
Tekanan berterusan diberikan Selangor membuahkan hasil pada minit ke-38 apabila rembatan Chrigor Moraes setelah menerima lorongan Nooa Laine tidak mampu diselamatkan Chatchai bagi memberikan kelebihan buat skuad Gergasi Merah.
Buriram kemudiannya kembali menguasai permainan tetapi tiada percubaan berbahaya dapat dicipta pada separuh masa pertama.
Babak kedua menyaksikan skuad kendalian Osmar Loss meningkatkan intensiti permainan dengan lebih banyak mencipta peluang ke arah pintu gol Selangor.

Namun, Kalamullah tangkas dalam menggagalkan percubaan-percubaan berbahaya yang dijelmakan Robert Zulj, Guilherme Bissoli, Suphanat Mueanta dan Suphachai Chaided.
Tolakan Zulj dalam kawasan penalti ketika Kalamullah sudah pun tertewas pula sekadar singgah di tiang gol.
Selangor Terpaksa Berpuas Hati Dengan 1 Mata
Kecemerlangan Kalamullah bagaimanapun terhenti pada minit ke-96 selepas tandukan Peter Antonio Zulj ketika situasi sepakan sudut membolehkan tuan rumah menyamakan kedudukan.
Selepas gol penyamaan tersebut, suasana di Chang Arena bertambah gamat dengan sorakan penyokong tuan rumah yang merasakan momentum sudah kembali ke tangan mereka.
Mereka hampir mendapatkan jaringan kemenangan pada saat akhir permainan tetapi sepakan percuma Theerathon Bunmathan yang terus menuju ke pintu gol ditanduk keluar Harith Aaiqal Adam Afkar.
Kedudukan itu kekal hingga tamat permainan untuk Selangor membawa pulang satu mata.
Satu mata yang diperoleh di tempat lawan itu tetap dianggap permulaan positif dalam misi mereka dalam kejohanan ini.