Pengendali Johor Darul Ta’zim (JDT), Xisco Munoz percaya anak buahnya mampu untuk bangkit daripada ketinggalan dua gol untuk melangkah ke final Kejohanan Kelab ASEAN (ACC) Piala Shopee 2025/26.

Beraksi di laman sendiri pada minggu lalu, skuad Harimau Selatan terpaksa berputih mata tewas 1-3 kepada juara bertahan, Buriram United.

Kekalahan itu merupakan sesuatu yang jarang berlaku buat JDT yang baharu sahaja mencatat rekod dunia menyamai 108 perlawanan liga tanpa kalah dalam saingan domestik, malam tadi.

Namun situasi berbeza menjelang separuh akhir kedua di Buriram pada Rabu ini apabila JDT perlu bekerja keras untuk memadam kelebihan dimiliki lawan.

Xisco Munoz Percaya Pemain JDT Mampu Bangkit

“Kami perlu percaya kepada diri sendiri dan kami perlu bekerja keras serta memberikan yang terbaik,” kata Xisco Munoz mengenai pertemuan timbal balik menentang Buriram United FC.

“Kami berjuang untuk kelab kami, semangat kami dan misi kami, jadi kami perlu mencuba. Kami perlu pergi ke sana dan melakukan yang lebih baik. Itu yang ada dalam fikiran saya.”

“Saya percaya kami mampu melakukannya,” tambah beliau lagi.

Penyerang JDT, Bergson da Silva yang terlepas aksi pertama akibat kecederaan dijangka kembali berada dalam senarai kesebelasan utama selepas menjaringkan enam gol ketika menentang Kelantan The Real Warriors.

Aksi yang pastinya menarik antara Buriram United bertemu JDT di Chang Arena ini akan berlangsung jam 8.00 malam.