Negeri Sembilan mempamerkan kebangkitan hebat untuk melangkah ke perlawanan akhir kejohanan sepak takraw Piala Tun Ali 2023 selepas berjaya menundukkan Johor pada aksi separuh akhir yang berlangsung di Bukit Serindit, Melaka sebentar tadi.
Kemenangan yang dilakarkan ke atas juara bertahan itu menjelma dengan penuh mendebarkan terutamanya pada set kedua.
Baca Juga:
- Piala Tun Ali 2023: Johor Tewaskan Skuad Himpunan Bintang KL
- Thawisak Thongsai Perkuatkan KL Hadapi Piala Tun Ali 2023
- Lihat Pasukan Sepak Takraw Thailand “Menganjing” Pasukan Malaysia
Johor yang dibarisi Rattadech Noijaroen (tekong), Syahmi Syazwan (perejam) dan Farhan Adam (pengumpan) bagaimanapun pada mulanya kelihatan cukup sukar digugat.
Ia jelas dibuktikan apabila trio tersebut tidak terlalu berdepan masalah untuk memenangi set pertama dengan keputusan 21-10.
Tidak mahu terlepas peluang beraksi di pentas akhir, Negeri Sembilan yang diperkuatkan tekong, Haziq Hairul Nizam bersama-sama Muhammad Hafizul Hayazi Adnan selaku perejam dan pengumpan, Zulefendi Sumari memperkemaskan aksi mereka.
Aksi kejar-mengejar mata yang ditampilkan pada set kedua akhirnya menjadi milik Negeri Sembilan dengan kemenangan 21-19 bagi mengheret aksi ke set penentuan.
Kemenangan set kedua itu nyata meningkatkan lagi moral para pemain dengan Haziq semakin selesa dengan servisnya manakala rejaman berbisa Hafizul Hayazi pula menghantui Johor.
Keyakinan mereka semakin terserlah pada peringkat pertengahan set ketiga sehingga memaksa trio Johor melakukan beberapa kesilapan mudah.
Kesempatan tersebut digunakan sepenuhnya Negeri Sembilan untuk memastikan tempat ke perlawanan akhir dengan kemenangan 21-14.
Menanti mereka di perlawanan akhir yang bakal berlangsung esok ialah pemenang satu lagi aksi separuh akhir antara Kuala Lumpur dan Perak.