Jika anda merupakan seorang dewasa dan kini berusia lewat 20-an dan ke atas pasti anda akan mengenali nama Pierre Andre yang suatu ketika dahulu terkenal dengan pelbagai filem lakonan dan juga arahannya.
Tetapi mungkin ramai yang tidak menyedari atau sedar tetapi tidak tahu mengenai ‘kehilangan’ anak kepada pelakon veteran Khatijah Tan daripada industri perfileman tempatan sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Untuk rekod, filem terakhir Pierre Andre (menurut beliau sendiri di YouTube baru-baru) ini adalah filem Kecoh! Primadona Kena Hantu! yang ditayangkan di pawagam pada 2016.
Walaupun terdapat beberapa laporan sebelum ini yang menyatakan punca pengunduran beliau daripada industri perfileman sebelum ini namun Pierre menjelaskan beliau belum pernah bercerita dengan lanjut di sebalik keputusannya untuk menyepi.
Sehinggalah beliau berbuat demikian (berceritakan punca pengunduran) daripada industri perfileman melalui satu video bertajuk Pendedahan ! DIUGUT JANGAN MENGARAH…! yang dimuat naik di saluran YouTube miliknya- Andre Brothers Pictures pada 1 Disember lalu.
“Okay guys, hari ini seperti aku janji, aku nak cerita kenapa aku menyepi dari industri perfileman.
“Mesti ramai yang nak tahu kan?” kongsinya dalam video berkenan.
Tiga sebab utama menyepi
Dalam video berdurasi lebih 30 minit itu, Pierre pada sebahagian awal atau separuh daripada video berkenaan turut berkongsikan kisah dan pengalamannya sebagai pengarah muda suatu ketika dahulu.
Namun, apa yang paling mencuri tumpuan dalam video yang dimuat naik itu sudah pastinya penjelasan di sebalik keputusannya untuk menyepi dan tidak terlibat dengan industri perfileman negara sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
“The main reason (sebab utama) kenapa aku ingin menyepi daripada industri seni adalah isteri aku waktu itu mengandung, isteri aku pernah keguguran dan aku adalah orang yang nak sangat anak.
“Aku rasa mungkin ada sebab, mungkin ini adalah penyebab why don’t (kenapa tidak) aku berundur seketika, aku fokus sepenuhnya kepada keluarga,” kata beliau dalam video berkenaan.
Bercerita lebih lanjut mengenai cabaran berkait masa ketika berada dalam industri seni, Andre turut memberitahu terdapat beberapa lagi sebab di sebalik pengundurannya daripada bidang berkenaan.
Antaranya adalah kekecewaan terhadap karya-karya yang dihasilkan sebelum ini dan juga kekecewannya dengan industri seni tempatan. Perkara itu menurutnya berlaku apabila karya-karya yang dihasilkannya gagal untuk memuaskan hatinya sendiri kerana tertalu banyak ‘memberi’.
“Sebab yang kedua guys adalah macam yang aku cakap tadi, bila kita terlampau banyak sangat memberi, kita tak ada yang masuk jadi karya-karya aku menjadi semakin tak memuaskan hati aku,” jelasnya.
Bagaimanapun setelah berehat sejak beberapa tahun kebelakangan beliau berkata sudah mampu untuk kembali dengan pelbagai input yang dimiliki ketika ini.
“Kalau aku nak berkarya selepas ni pun insya-Allah aku akan beri sesuatu yang lebih berkualiti berbanding dulu,” tambahnya lagi.
Sebab ketiga dan terakhir yang diberikan Pierre dalam videonya seperti yang kami kongsikan di atas adalah sedikit sukar untuk ditafsirkan namun ianya boleh dikatakan mengenai pekerjaan di dalam bidang itu sendiri di mana mereka ini tidak mengetahui bila untuk berhenti.
Justeru itu, beliau menjelaskan telah memutuskan untuk berhenti seketika dan mencari sumber rezeki yang lain bersama isterinya. Selain daripada tidak tahu waktu yang tepat untuk berhenti, Pierre Andre juga menjelaskan ianya juga berkait dengan prinsip yang dipegangnya.
“[…] benda ni aku dah lalui aku dah rasa dan aku takut suatu hari nanti aku bekerja pasal bukan aku ikhlas nak berkarya tetapi semata mata nakkan duit daripada produser. Itu aku rasa satu prinsip yang salah.
“Aku taknak aku bekerja suatu hari sampai ke tua, buat sebab bukan aku minat sangat tapi sebab aku nak duit saja.
“Jadi aku fikir, macam mana aku kena cari punca rezeki lain, kena cari satu pintu rezeki lain,” jelasnya dalam video pendek berkenaan.
Buat anda yang masih belum tahu, saluran YouTube yang diuasahakan Pierre ini sebenarnya sudah berusia hampir setahun dan beliau juga turut aktif memberikan reaksi dan pandangan terhadap isu-isu terkini yang berlaku.
Selain itu juga beliau turut berkongsikan beberapa video yang seperti lima filem terbaik menurutnya dan banyak lagi.
Mendengar sendiri ulasan dan pendapat dari seorang pelakon dan pengarah mengenai filem-filem ini sudah pastinya berbaloi untuk ditonton dan mungkin tidak terdapat di saluran-saluran YouTube yang lain!
Baca juga perkongsian semasa hiburan dalam dan luar negara daripada kami sebelum ini melalui pautan di bawah.
Terima Sambutan Hangat Dari Peminat, Yusof Haslam Sahkan Ini ‘Titik Noktah’ Buat Gerak Khas
Selepas Itaewon Class, Ini 5 Sebab Usahawan Muda Perlu Tonton Drama Korea Start-Up
‘Nasi Goreng, Kicap Manis, Terima Kasih’ – Bebelan Minions Dalam Bahasa Malaysia Curi Perhatian