Pertama, saya ingin bertanya kepada adik-adik di Tingkatan 1-3 adakah sudah menetapkan aliran mana yang ingin diambil di Tingkatan 4-5 (disebut selepas ini sebagai: Menengah Atas) nanti?

Bagi saya, ia tidak terlewat sekali-kali walaupun sudah berada di Tingkatan 3. Izinkan penulis berkongsi sedikit ilmu serta pengalaman untuk dimanfaatkan bersama.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Berikut merupakan cara-cara memilih aliran di Menengah Atas.

1. Penetapan Matlamat

Anda pernah fikirkan apakah cita-cita anda? Adakah anda fikirkan jalan apakah untuk menuju cita-cita anda? Soal dalam diri siap-siap.

Contoh; jika anda ingin menjadi seorang doktor. Pastikan anda tahu jalan menuju cita-cita itu. Dan pastikan jalan sesuai manakah untuk menggapainya.

2. Buat Penyelidikan

Adik-adik, sekarang maklumat mengenai Menengah Atas sudah berada di hujung jari. Malah, adik-adik boleh mendapatkan sedikit maklumat melalui Internet.

Seterusnya, jika anda mempunyai senior yang pernah mengambil aliran tersebut, tidak salah untuk membuat pertanyaan. Jika tidak pun, tanyalah cikgu yang mengajar di menengah atas.

Selain itu, adik-adik mesti mencari maklumat sekolah manakah yang membuat penawaran subjek dalam aliran tersebut. Sama ada sekolah harian biasa, SBP, Kolej Vokasional dan SMKA.

3. Berbincang Dengan Guru Kaunseling

Ya, guru kaunseling dipercayai boleh membantu untuk urusan ini. Tetapi pastikan anda sudah bersedia untuk dikaunseling. Kemukakan hajat anda untuk mempelajari aliran itu dalam masa singkat.

Penulis pasti mereka bakal membimbing anda untuk membuat pilihan bijaksana. Dalam masa yang sama, harap dapat buang jauh-jauh tanggapan bertemu guru kaunseling ialah untuk masalah disiplin sahaja.

4. Berbincang Dengan Ibubapa

Ini merupakan titik kritikal dalam isu ini. Maklumlah mereka bakal uruskan pertukaran aliran anda dengan pihak sekolah. Sebaik-baiknya turut berbincang dengan ibubapa dan berkongsi cita-cita dan aliran yang diimpikan anda.

Memang makan masa jika ibubapa tidak bersetuju dengan pilihan anda. Jika ditakdirkan anda dapat mendapat masuk aliran diimpikan, buktikan kepada mereka anda boleh lakukan sebaiknya.

5. Fokus PT3

Buat sehabis baik dalam PT3 agar anda dapat jawab dengan cemerlang supaya anda benar-benar layak untuk ke aliran yang diimpikan. Kebiasaannya, aliran sains tulen memerlukan pelajar berkeputusan baik dalam peperiksaan awam tersebut.

6. Istikharah

Ini digalakkan kepada pelajar Muslim setelah mendapat keputusan PT3. Lakukan solat sunat istikharah untuk merujuk keputusan kita kepada Allah SWT. Agar sebarang keputusan itu diberkati dan diredahinya.

7. Redha Dan Syukur

Bersikap redha jika ada daripada kalangan anda tidak dapat menyambung pengajian dalam aliran diimpikan. Bersyukur juga jika dapat peluang untuk sambung belajar ke Menengah Atas dan seterusnya SPM.

Saya ingin berkongsi, ada rakan dari sebuah SBP pernah suara tidak minat aliran sains teknikal tetapi beliau ke arah sains kemanusiaan. Namun, beliau skor sebaiknya ke dalam SPM dan menyambung pengajian dalam bidang sains kemanusiaan akhirnya.

Kesimpulannya, jika gagal mendapat peluang di Menengah Atas, masih ada peluang di IPT. Paling penting, masa SPM skor betul-betul!

Pengalaman Penulis

Dulu saya bersekolah di SM (Sains) Sultan Haji Ahmad Shah (SEMSAS) di Kuantan. Kemudian, pada Ogos 2007, saya berpindah ke SMK Alor Akar juga di Kuantan kerana bertukar aliran. Pada ketika itu, SEMSAS dan SBP lain tidak menawarkan aliran sains kemanusiaan.

Saya merujuk kaunselor serta membuat perbincangan bersama ibubapa mengenai untuk bertukar aliran ini. Dalam masa sama, penulis menunaikan juga solat istikharah dan hajat agar dimudahkan urusan ini. Cita-cita saya? Menjadi seorang ahli perniagaan.

Memang ada suara skeptikal mengenai pertukaran ini dari pelbagai pihak (ceh, haha!). Tetapi, perjuangan mesti diteruskan meskipun cabaran tetap ada.

Cuba bayangkan saya daripada aliran sains teknikal ke sains kemanusiaan dan kena bermula daripada asas? Mana tidaknya masuk pun bulan 8, dianggap lewat juga.

Tetapi, saya berpendirian agar tidak perlu berputus asa. Akhirnya, saya mendapat keputusan bagus dalam SPM dan dapat menyambung pengajian perniagaan di UiTM dalam Diploma dan Ijazah Sarjana Muda.

Kini saya bertugas menjadi Eksekutif sebuah NGO, dan menguruskan perniagaan pakaian muslimah.

Akhir sekali, saya ingin berterima kasih kepada ibu bapa, guru daripada SEMSAS (Tn Hj Abas, Cikgu Hakimi, Cikgu Hameer, Datin Mariam. Tak lupa kepada Cikgu Asmadi, Cikgu Jafri serta Ustazah Maizom dan Teacher Mazliza).

Tak lupa juga kepada rakan-rakan yang konsisten beri sokongan pada ketika itu seperti Muhammad Asyraf Zulkifli dan Nurul Amalina Abdul Samad.

Dan juga kepada barisan guru SMK Alor Akar terutamanya Cikgu Rashidah, Cikgu Rodiyah, Ustazah Parihah dan ramai lagi guru dan rakan-rakan. Semoga sokongan kalian Allah SWT membalasnya.

Terakhir, semoga perkara ini dapat dimanfaatkan semua agar kita dapat mencapai cita-cita. Jika sekali gagal, masih banyak jalan boleh dilalui lagi.