Pernah tak anda terfikir, adakah sekolah harian biasa anak-anak kita di taman perumahan cukup bagus jika dibandingkan dengan sekolah elit?
Berita baik untuk semua ibu bapa, sistem pendidikan negara kita sebenarnya jauh lebih hebat daripada apa yang kita selalu bayangkan.
Keputusan Program Penilaian Pelajar Antarabangsa (PISA) 2025 yang diumumkan baru-baru ini membuktikan ekosistem sekolah di Malaysia kini berada di tahap yang sangat membanggakan.
Sekolah Biasa Tapi Kualiti Luar Biasa

Kalau di sesetengah negara luar, ibu bapa sanggup berhabis duit dan sanggup berpindah rumah semata-mata mahu anak diterima masuk ke sekolah ternama.
Namun, senario di Malaysia sangat berbeza. Pengarah Pendidikan dan Kemahiran OECD, Dr Andreas Schleicher mendedahkan satu fakta yang pasti membuka mata banyak pihak.
“Dari sudut ekuiti pendidikan, Malaysia kini setanding secara positif dengan negara berprestasi tinggi seperti Singapura,” kongsi beliau melalui satu rakaman video baru-baru ini.
Menurut Dr Andreas, variasi prestasi pelajar yang berpunca daripada perbezaan antara sekolah di Malaysia hanyalah sekitar 17 peratus.
Angka ini jauh lebih rendah daripada purata antarabangsa.
Ini bermakna, sekolah yang paling dekat dengan rumah anda itu sebenarnya sudah menawarkan pendidikan bertaraf tinggi. Jurang kualiti antara sekolah elit dan biasa berjaya dirapatkan dengan cemerlang.
Sikap Pelajar Kita Buat Dunia Kagum
Memetik Sinar Harian, bukan sekadar kualiti sekolah, anak-anak kita yang berusia 15 tahun juga rupa-rupanya memiliki keistimewaan tersendiri di mata dunia.
Mereka dinilai mempunyai tahap rasa ingin tahu yang sangat tinggi, berjiwa kental, dan pandai menguruskan pembelajaran secara berdikari.
“Tiada teknologi yang mampu menggantikan rasa ingin tahu, dan tiada algoritma yang boleh memberikan ketabahan kepada seseorang anak muda,” kata Dr Andreas sambil memuji karakter generasi muda kita.
Beliau turut tersentuh melihat sokongan padu guru-guru di Malaysia. Cikgu kita bukan sekadar robot penyampai ilmu di depan papan putih, malah diangkat sebagai mentor dan jurulatih peribadi.
Anak murid rasa lebih semangat untuk cemerlang bila ada guru yang sentiasa percaya pada potensi mereka.
Kekalkan Momentum, Gilap Potensi
Dalam aspek kemahiran membaca, pelajar kita sukses mengekalkan prestasi yang baik ketika banyak negara lain sedang mengalami kemerosotan.
Pun begitu, kita masih ada satu cabaran yang perlu diperhalusi iaitu subjek Matematik. Sistem kita perlu segera beralih daripada konsep menghafal formula kepada kemahiran berfikir secara logik dan menyelesaikan masalah.
Paling menarik, pelajar Malaysia mencatat keputusan luar biasa dan antara yang terbaik dunia dalam kemahiran penyelesaian masalah komputasional.
Bakat hebat ini cuma perlu digabungkan dengan pembelajaran Matematik yang betul untuk hasil yang lebih ‘gempak’.
Kesimpulannya, kita langsung tidak perlu merombak sistem pendidikan negara dari mula. Bak kata Dr Andreas, kita hanya perlu perkasakan aset berharga yang sudah sedia wujud.
Rapatkan hubungan sekolah dengan keluarga, dan integrasikan teknologi dengan cara belajar yang bermakna. Tahniah untuk seluruh warga pendidik dan pelajar Malaysia!