Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) 3.0 bakal dilaksanakan secara berperingkat bermula Januari 2025, tahun hadapan.

Perkara itu disahkan sendiri oleh Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari – menurut laporan Berita Harian.

Adly Zahari juga menyatakan bahawa fasa pertama akan melibatkan kumpulan kecil sahaja sebelum ia diperluaskan lagi pada fasa berikutnya yang akan diadakan pada Jun 2025.

PLKN 3.0 akan disertai perserta yang berusia 16 sehingga 35 tahun. Mereka akan berlatih dengan modul latihan dan pembelajaran yang khas.

Kerajaan dilaporkan membelanjakan sekitar RM50 juta untuk memulakan program PLKN 3.0, tegas Adly Zahari.

Beliau menambah: “Bagi pengambilan pertama ini, peserta akan ditempatkan di dua kem untuk kita ‘pilotkan’ projek PLKN 3.0 ini yang akan membabitkan kira-kira 500 peserta sebelum dilaksanakan secara menyeluruh dengan bilangan lebih besar pada Jun tahun depan.”

Sebanyak 13 kem tentera telah dipilih untuk menjadi pusat atau lokasi PLKN 3.0 di seluruh Malaysia.

Kerajaan menggunakan kem yang sedia ada untuk menjadi pusat latihan itu kelak.

Adly berkata: “Kita akan menggunakan kem sedia ada dan sekarang ini dalam proses untuk baik pulih, namun bagi pengambilan sesi pertama, kita hanya akan menggunakan dua kem.

“Namun menjelang 2026, semua 13 kem ini kita akan gunakan bagi menempatkan peserta selepas pelaksanaan sepenuhnya dijalankan.”