Kecoh baru-baru ini apabila tular mengenai reaksi netizen apabila mendapati Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) kembali diadakan sekaligus membuatkan orang ramai kenangan masa dahulu sewaktu menyertainya.

Buat golongan pelajar pula, kembalinya PLKN telah menimbulkan pelbagai reaksi yang berminat dan juga sebaliknya untuk menyertai program anjuran kerajaan ini.

Terbaharu, Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamad Hasan mengesahkan PLKN tidak akan diadakan seawal tahun 2024 sebaliknya berkemungkinan bakal diadakan pada tahun 2025.

Sumber: Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan

Beliau berkata hal ini disebabkan peruntukan untuk melaksanakan program itu tidak dimasukkan dalam Belanjawan 2024 yang dibentangkan pada 13 Oktober lalu.

“Kemungkinan PLKN ini untuk laksana semula pada 2024 memang tak ada kerana tidak dibajetkan pun dalam Belanjawan 2024. Kalau kita nak menggunakan kem-kem wataniah, sepertimana yang saya sebut sebelum ini, kita memerlukan naik taraf dulu kem tersebut secara ‘one-off’.

“Ada 13 kem wataniah di seluruh negara. Jadi perincian mekanisme pelaksanaannya, kementerian akan bersama-sama dengan semua pemegang taruh terutamanya pihak NGO, masyarakat dan yang lain sebelum kita memuktamadkan dan mendapat kelulusan untuk menghidupkan dan meneruskan PLKN, mungkin pada tahun 2025,” katanya di Dewan Rakyat pada Khamis.

Kementerian Pertahanan kemudian dalam kenyataan berasingan memaklumkan hanya remaja yang lahir pada tahun 2007 akan dipanggil untuk menjalani PLKN sekiranya program itu dilaksanakan semula.

Sumber