Kelab Thailand, Police Tero FC menjadikan Johor sebagai lokasi kem latihan pusat  bermula hari ini untuk meningkatkan prestasi mereka sebelum saingan liga kembali bersambung.

Perkembangan itu diumumkan oleh laman sosial rasmi kelab tersebut yang menyatakan mereka sudah berada di lapangan terbang pagi ini untuk bertolak ke Johor.

Baca Juga:

“Hari ini pada pagi yang gelap, para pemain dan staf Police Tero berlepas untuk mengharungi kem latihan pusat di Johor Bahru, Malaysia daripada 13 sehingga 21 Mac 2024,” jelas kenyataan tersebut.

Ketika ini saingan liga di Thailand berehat sebentar untuk memberi laluan kepada persiapan skuad Thailand bagi mengharungi saingan Kelayakan Piala Dunia 2026 minggu depan.

Police Tero cukup popular dalam kalangan peminat bola sepak tempatan kerana sering menjadi tempat pinjaman pemain dari Johor Darul Ta’zim (JDT).

Difahamkan skuad kendalian Tan Cheng Hoe itu bakal menentang JDT pada aksi persahabatan yang akan berlangsung dalam masa terdekat di Stadium Sultan Ibrahim atau Stadium Larkin.

Berdasarkan prestasi semasa, kelab tersebut masih gagal meraih sebarang kemenangan selepas mengharungi lapan perlawanan berturut-turut.

Kemasukan Tan Cheng Hoe pada minggu lalu juga tidak berjaya membawa sebarang kemenangan apabila merekodkan keputusan seri 1-1 ke atas Nakhon Pathom dan tewas 0-2 kepada Prachuap.

Setakat ini, mereka hanya memperolehi 5 kemenangan sahaja daripada 21 perlawanan yang diharungi dan kini berada di tangga ke -14.

Justeru itu, kem latihan di Johor dirancang untuk memulihkan semula prestasi kelab tersebut dalam misi mengelakkan daripada tersingkir ke saingan divisyen 2 musim depan.