Bekas pengendali Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe menafikan dakwaan pelbagai pihak yang menyifatkan  pasukan Police Tero FC sekadar tempat ‘transit’ sebelum kembali semula ke Liga Malaysia.

Penghijrahan Cheng Hoe ke Thailand itu menjadi persoalan dalam kalangan peminat bola sepak tempatan kerana ia berlaku secara tiba-tiba selepas membantu Selangor FC (SFC) raih gelaran naib juara Liga Super musim 2023.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Baca Juga:

Namun, Cheng Hoe menjelaskan melatih kelab luar negara sememangnya merupakan impiannya dan beliau tidak ingin melepaskan peluang ini.

“Segala khabar angin tidak benar. Ini bukan ‘transit’.

“Ia adalah keputusan yang sangat sukar kerana RMS (Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah), pemain serta barisan jurulatih Selangor memberi sokongan dan saya mengharungi musim 2023 yang hebat.

“Tawaran Polis Tero datang secara tiba-tiba. Pastinya mencabar buat saya, tetapi memang sentiasa menjadi impian saya untuk bekerja di luar negara.

“Dengan restu RMS, saya menyertai Polis Tero. Saya harap ini juga akan membuka pintu kepada lebih ramai jurulatih Malaysia (untuk bekerja di luar negara),” kata Cheng Hoe dipetik dalam New Straits Times.

Beliau kini berdepan tugas getir untuk memulihkan Police Tero yang ketika ini menghuni tangga ke-14 daripada 16 pasukan Liga 1 Thailand.

Selepas 19 perlawanan, pasukan itu hanya mengutip lima kemenangan dan empat keputusan seri untuk mengutip 19 mata selain meledak 27 gol dan bolos 46 gol.

Jika berjaya membawa kelab tersebut keluar daripada zon penyingkiran ke divisyen 2, kontrak Cheng Hoe dijangka akan bersambung semusim lagi.

“Saya tidak mahu memberi tekanan kepada pemain. Bola sepak bukan ‘magic’, anda tidak boleh terus masuk, berlatih sehari dua dan segera mendapat kemenangan.

“Saya tahu liga Thailand hanya tinggal dua bulan. Pihak pengurusan meminta saya melakukan yang terbaik bagi memastikan pasukan itu kekal di divisyen satu,” tambah Cheng Hoe.