Terengganu bakal bergegar lagi dengan kehadiran lebih 100,000 peminat tegar motosikal sempena program RXZ Members 8.0 yang dijadualkan berlangsung dari 31 Julai hingga 1 Ogos ini.

Bagi memastikan kelancaran acara berskala besar ini, pihak Polis Terengganu tampil memberikan jaminan awal bahawa tiada operasi sekatan besar-besaran atau istilah popularnya pukat memukat akan dijalankan sepanjang program tersebut.

Kelonggaran Ini Bukan Tiket Bebas Undang-Undang

Bagaimanapun, kelonggaran yang diberikan ini bukanlah lampu hijau untuk para peserta bermaharajalela di jalan raya.

Memetik laporan Harian Metro, Ketua Polis Terengganu, Datuk Mohd. Khairi Khairudin menegaskan bahawa pihak berkuasa tidak akan berkompromi atau memberikan sebarang keistimewaan sekiranya ada peserta yang dikesan melanggar undang-undang.

Penguatkuasaan jalan raya tetap berjalan seperti biasa demi menjaga keselamatan komuniti dan ketenteraman awam.

Datuk Mohd. Khairi menjelaskan situasi ini dalam satu sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Terengganu pada Khamis. Apa yang pasti tidak ada pukat.

“Kita mengalu-alukan mereka semua datang ke Terengganu tetapi dalam masa sama mereka perlu mematuhi peraturan jalan raya. Tiada keistimewaan atau pengecualian. Kalau melakukan kesalahan, kita akan ambil tindakan. Jangan bimbang, penguatkuasaan tetap berjalan walaupun tiada operasi pukat,” ujar beliau.

Ratusan Anggota Digerakkan Pantau Lubuk Panas

Demi memastikan tiada pihak yang cuba mengambil kesempatan melakukan aksi berbahaya, seramai 619 pegawai dan anggota polis akan digerakkan sepanjang acara berlangsung.

Fokus utama pemantauan akan ditumpukan di kawasan jalan lurus yang sering menjadi tempat kegemaran peserta menunjuk-nunjuk kehebatan jentera mereka, seperti di Jalan Pantai Seberang Takir dan Jalan Pantai Teluk Ketapang.

Kehadiran anggota di lokasi-lokasi strategik ini adalah sebagai langkah pencegahan awal kerana pihak polis sedia maklum ada segelintir peserta yang mungkin mengambil kesempatan untuk menunggang secara berbahaya termasuk melakukan aksi wheelie, jelas beliau.

Selain pemantauan statik di kawasan panas tersebut, pihak polis juga akan meningkatkan kekerapan rondaan dengan menggunakan Unit Rondaan Bermotosikal serta kereta peronda bagi memantau setiap kawasan yang menjadi tumpuan orang ramai.

Hormati Penduduk Tempatan dan Patuhi Spesifikasi

Para peserta juga dinasihatkan supaya memeriksa keadaan motosikal masing-masing sebelum memulakan perjalanan.

Pastikan kenderaan mempunyai lesen memandu yang sah serta mematuhi spesifikasi yang ditetapkan, termasuk penggunaan cermin sisi, ekzos standard, dan nombor pendaftaran yang mengikut peraturan jalan raya.

Bukan itu sahaja, Datuk Mohd. Khairi memberikan peringatan tegas agar Lebuh Raya Pantai Timur 2 tidak dijadikan litar lumba.

Peserta juga dilarang sama sekali daripada membuat bising di kawasan awam yang sensitif seperti hospital dan kawasan penginapan, serta diingatkan supaya tidak membawa sebarang barang terlarang ke negeri ini.

Belajar Daripada Rekod Hitam Tahun Lalu

Langkah berhati-hati dan ketat yang diambil pihak polis ini mempunyai asas yang kuat.

Penganjuran tahun lalu meninggalkan rekod hitam apabila mencatatkan sebanyak dua kemalangan maut, dua kemalangan cedera parah, dan tujuh kemalangan cedera ringan sepanjang program berlangsung.

Pihak polis menegaskan bahawa tindakan tegas yang diambil ini bukan bertujuan untuk menghukum atau menyusahkan para peminat motosikal, sebaliknya demi menjaga nyawa para peserta itu sendiri agar pisang tidak berbuah dua kali.

“Matlamat kita bukan untuk mengeluarkan sebanyak mungkin saman tetapi memastikan semua peserta dapat datang ke Terengganu, menyertai program dan pulang ke destinasi masing-masing dengan selamat,” kata Datuk Mohd. Khairi mengakhiri bicara.