Beberapa anggota polis ditempatkan sekitar padang Wisma Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) untuk kawalan keselamatan sejak hari pertama kem latihan pusat skuad Harimau Malaya.
Ini mungkin adalah kali pertama pemain negara menjalani latihan sambil diperhatikan oleh pihak polis dan ia turut menjadi topik perbualan hangat dalam kalangan peminat bola sepak tanah air.
Baca Juga:
- Ini Rahsia Bangsa Cina Simpan Duit Yang Semua Orang Boleh Ikut
- Kad Kredit Bahaya? Mari Ambil Tahu Tentang Kelebihan Dan Keburukannya
- Jangan Ulang 5 Kesilapan Kewangan Orang Malaysia Selalu Buat
Tindakan itu diambil susulan beberapa kejadian yang menimpa tonggak Harimau Malaya, Faisal Halim dan Akhyar Rashid pada bulan lepas sehingga menjadi tular di media sosial.

Faisal atau dikenali sebagai Mickey menjadi mangsa simbahan asid oleh individu tidak dikenali pada 5 Mei lalu menyebabkan dia mengalami kelecuran tahap empat.
Manakala Akhyar menjadi mangsa samun dan dipukul sehingga menyebabkan dia menerima empat jahitan di kepala dan dua di kaki. Bagaimanapun, pemain sayap Terengganu FC itu kini sudah pulih dan menyertai kem latihan pusat.
Namun begitu, khidmat Faisal terpaksa dilupakan oleh pengendali Harimau Malaya, Kim Pan-Gon yang memberi bayangan akan menurunkan muka baharu, Adib Raop di posisi sayap kiri.
Skuad Harimau Malaya akan turun beraksi untuk perlawanan kelima Kumpulan D menentang Republik Kyrgyz pada Khamis, 6 Jun 2024 di Stadium Dolen Omurzakov, Bishkek sebelum terbang pulang bagi perlawanan keenam bertemu Chinese Taipei di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada Selasa, 11 Jun 2024.
Sementara dua lagi pertembungan lain dalam Kumpulan D menyaksikan Chinese Taipei bertemu Oman di Taipei pada 6 Jun 2024 sebelum Oman menanti kunjungan Republik Kyrgyz di Muscat pada 11 Jun 2024.
Kemenangan amat penting untuk mencerahkan peluang mendapatkan tiket automatik layak ke Piala Asia 2027 serta mara ke pusingan ketiga Kelayakan Piala Dunia 2026.