Pihak polis berjaya menahan sekumpulan penjenayah yang disyaki cuba menyamun juruteknik di sebuah stesen minyak di Lebuhraya Shah Alam (KESAS) dekat Subang Jaya, Selangor.

Tangkapan itu dibuat berasingan semalam selepas tular rakaman dashcam menunjukkan suspek sedang melakukan jenayah.

Memetik Buletin TV3, Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan berkata, kesemua suspek berusia antara 30 hingga 41 tahun itu ditahan di sekitar Klang dan Shah Alam, Selangor.

Tangkapan dibuat selepas menerima laporan daripada seorang lelaki mendakwa dihampiri empat lelaki bersenjatakan kayu pada jam 1.37 pagi semalam.

“Suspek yang menunggang motosikal menghalang dengan berhenti di hadapan kenderaan pengadu lalu menghayunkan kayu ke arah cermin kenderaan sehingga pecah.

“Bertindak atas maklumat, pasukan Bahagian Siasatan Jenayah Khas (D9) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya yang menjalankan siasatan berjaya menahan empat suspek secara berasingan pada jam 5.30 petang hari sama,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam masa sama, sebuah kereta jenis Nissan Almera, motosikal Yamaha LC135 dan enam telefon bimbit turut dirampas polis.

Keempat-empat suspek mempunyai pelbagai rekod jenayah lampau termasuk dadah.

“Polis percaya kesemua suspek itu adalah individu yang terbabit kes samun seperti dilaporkan mangsa sebelum ini,” katanya kes disiasat mengikut Seksyen 393 dan 427 Kanun Keseksaan.

Katanya, polis akan memohon perintah reman terhadap kesemua suspek di Mahkamah Majistret Shah Alam, Selangor, pagi ini, petik Buletin TV3.