Tindakan seorang lelaki mengekori rapat konvoi polis yang sedang mengiringi Timbalan Perdana Menteri membawa padah apabila dia ditahan pihak berkuasa di Lebuh Raya Shah Alam (KESAS) menghala ke Klang, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 9.20 pagi itu, pemandu kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis Honda CR-V berusia 27 tahun berkenaan dikesan berdegil dan enggan mematuhi arahan keselamatan yang diberikan oleh anggota juruiring, petik Berita Harian.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Zamzuri Mohd Isa berkata, konvoi berkenaan ketika itu sedang mengiringi pergerakan orang VIP dari Kajang menghala ke Pusat Perubatan Sunway, Subang Jaya.

View on Threads

“Seorang anggota polis bertugas sebagai juruiring dalam konvoi itu memberi amaran kepada pemandu SUV terbabit supaya tidak mengekori konvoi berkenaan.

“Bagaimanapun, lelaki itu enggan mematuhi arahan, malah terus mengekori. Tindakan itu dikhuatiri boleh membahayakan keselamatan konvoi dan pengguna jalan raya yang lain,” katanya dalam satu kenyataan.

Susulan tindakan berbahaya itu, pemandu tempatan terbabit bersama kenderaannya telah ditahan oleh Bahagian Penguatkuasaan JSPT Kuala Lumpur untuk tindakan dan siasatan lanjut.

Sumber