Filem seram tempatan, Polong terus mencipta fenomena apabila berjaya mencatat kutipan RM10 juta, sekali gus membuktikan genre seram tempatan masih ada taring tersendiri dalam industri perfileman Malaysia.
Pencapaian ini hadir hanya beberapa hari selepas filem arahan Zulkarnain Azhar itu mencetuskan momentum luar biasa dengan kutipan RM5.5 juta dalam tempoh empat hari tayangan.
Kini, dengan sokongan berterusan penonton di seluruh negara, Polong berjaya melepasi satu lagi ‘milestone’ penting apabila angka kutipan rasmi mencecah RM10 juta.
Sejak mula ditayangkan di pawagam, Polong bukan sekadar menarik perhatian peminat filem seram tempatan, malah menjadi antara topik hangat di media sosial.
Rata-rata penonton berkongsi pengalaman masing-masing selepas menonton, dengan ramai mengakui terkesan dengan suasana seram yang dibawakan serta jalan cerita penuh misteri dan emosi.
Mengangkat tema ilmu hitam, dosa silam dan sumpahan keluarga merentasi generasi, Polong berjaya tampil dengan identiti tersendiri menerusi gabungan elemen seram tradisional tempatan bersama naratif psikologi yang lebih mendalam.
Filem ini diterbitkan oleh Golden Star Pictures Sdn. Bhd. (GSPSB) dengan sokongan pengedaran 10 Star Cinemas Sdn Bhd, selain kerjasama pemasaran daripada Primeworks Studios dan Astro Shaw.
Dibintangi nama-nama besar seperti Mimi Lana, Jun Lojong, Fad Anuar, Namron, Nadiya Nisaa dan Amir Nafis, filem ini menerima pelbagai respons positif daripada penonton yang memuji aspek lakonan, sinematografi, reka bentuk bunyi serta kekuatan penceritaan.
Dalam masa sama, kejayaan Polong juga seakan memberi signal jelas bahawa filem seram tempatan masih mempunyai tempat istimewa dalam hati rakyat Malaysia — asalkan hadir dengan identiti kuat dan kualiti penceritaan yang meyakinkan.
Dengan momentum yang masih kukuh di pawagam, tidak mustahil Polong bakal mencipta lebih banyak rekod dalam minggu-minggu mendatang. Yang belum menonton, boleh ke pawagam hujung minggu ini!