Akibat tersilap menekan pedal minyak, sebuah Porsche yang dipandu oleh seorang wanita berusia 61 tahun telah terbabas lalu merempuh kawasan lobi sebuah hotel di Persiaran Gurney, hari ini.

Menurut Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Abdul Rozak Muhammad, siasatan awal mendedahkan bahawa kejadian tersebut berlaku pada jam 11.15 pagi ketika pemandu wanita berkenaan dalam perjalanan pulang ke rumah selepas melawat ahli keluarganya, petik Berita Harian.

“Pemandu terbabit dipercayai tersilap menekan pedal minyak lalu menyebabkan kenderaannya hilang kawalan dan melanggar bahagian lobi hotel tersebut.

“Walau bagaimanapun, tiada sebarang kemalangan jiwa dilaporkan, manakala jumlah kerugian sebenar masih lagi dalam proses siasatan,” katanya melalui satu kenyataan media hari ini.

Beliau menambah, kes tersebut kini sedang disiasat di bawah Seksyen 43 Akta Pengangkutan Jalan 1987.