Pengurus Portugal, Roberto Martinez dilaporkan melepaskan tonggak pasukannya iaitu Cristiano Ronaldo, Bruno Fernandes, Bernardo Silva dan Pedro Neto untuk kembali ke kelab masing-masing.

Perkembangan terkini mengenai pelepasan yang diberikan kepada empat pemain itu telah disahkan oleh wartawan bola sepak terkenal dunia, Fabrizio Romano.

Baca Juga:

“Cristiano Ronaldo, Bruno Fernandes, Pedro Neto dan Bernardo Silva bersedia untuk kembali ke kelab mereka selepas perlawanan malam ini (bertemu Poland).”

“Portugal sudah melayakkan diri ke suku akhir UEFA Nations League dan jurulatih Roberto Martínez akan memanggil Fábio Silva dan Geovany Quenda (sebagai pengganti).”

Keempat-empat pemain tersebut turun selaku pemain kesebelasan utama ketika membantu Portugal membelasah Poland 5-1 pada aksi kelima kumpulan A saingan UEFA Nations League 2024.

Perlawanan di Estadio do Dragao, Porto itu menyaksikan Cristiano Ronaldo mencipta dua gol manakala Bruno Fernandes dan Pedro Neto masing-masing dengan satu jaringan.

Bernardo Silva yang turut memperagakan corak permainan baik juga beraksi selama 73 minit sebelum digantikan dengan Samuel Costa.

Keputusan yang sekali gus mengesahkan kemaraan Portugal ke peringkat suku akhir meskipun saingan kumpulan masih berbaki satu perlawanan dimana mereka akan berkunjung ke Split untuk berhadapan Croatia.

Faktor tersebut pastinya menjadi perkiraan buat Roberto Martinez untuk melepaskan keempat-empat tonggak pasukan tersebut untuk memberikan ruang kepada pemain lain.

Keputusan itu sudah semestinya memberikan kelegaan buat Al-Nassr, Manchester United, Manchester City dan Chelsea untuk melihat pemain-pemain tersebut pulang ke kelab masing-masing tanpa sebarang kecederaan.