Polis Daerah Jeli (IPD Jeli) sedang mengesan seorang pemandu lori dan kereta yang dirakam memandu secara berbahaya, potong barisan sehingga nyaris menyebabkan kemalangan terhadapan pemandu di laluan bertentangan.
Memetik satu kenyataan rasmi IPD Jeli, tular satu rakaman video berdurasi 32 saat di laman media sosial Facebook pada 20 Oktober 2023 jam lebih kurang 7.00 malam.
Baca Juga:
- Kerajaan Negeri Pahang ‘Terkejut’, Tak Tahu Perancangan Plaza Tol Di Genting Highlands
- ‘Permohonan Permit Memandu Warga Pakistan Meningkat’ – JPJ Kelantan
- Pemandu Ambulans Tenang Berhenti Beli Pisang Goreng Semasa Hantar Pesakit Ke Hospital
“Video itu memaparkan satu kejadian sebuah kereta disyaki jenis Suzuki berwarna merah bersama sebuah lori treler berwarna kuning yang dipandu secara merbahaya di Jalanraya Timur Barat, Jeli.
“Siasatan lanjut mendapati kejadian tular tersebut berlaku pada hari yang sama anggaran waktu sekitar tengahari, di mana kedua-dua kenderaan tersebut telah dipandu secara berbahaya dengan memotong di garisan berkembar di KM120 Jalanraya Timur Barat, Jeli.
“Perbuatan ini boleh mendatangkan bahaya pada diri sendiri dan pengguna jalanraya yang lain,” petik kenyataan rasmi.
Tambah pihak IPD Jeli lagi, pemandu kenderaan yang melihat kejadian tersebut diminta untuk memberikan maklumat lanjut bagi membantu mengesan kedua-dua kenderaan terbabit.
“Pemilik atau pemandu kedua-dua kenderaan terlibat diminta tampil ke Ibu Pejabat Polis Daerah Jeli atau mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 42(1) APJ 1987 dan siasatan lanjut masih dijalankan,” jelas IPD Jeli.
Terdahulu, pemilik rakaman dashcam berkongsi dua video, rakaman hadapan dan belakang, di mana isteri dan adik iparnya menghadapi detik-detik cemas sebuah lori treler dan kereta berwarna merah memotong secara berbahaya sehingga nyaris menyebabkan kemalangan.
Semasa kejadian, pemandu yang perasan terdapat dua kenderaan di hadapan lorongnya, segera membunyikan hon beberapa kali.
Kemudian pemandu mengawal keretanya dengan baik semasa berselisih dengan kedua-dua kenderaan terbabit, sebelum berhenti di tepi bahu jalan.