Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) membidas pihak berkuasa kerana kurang bertindak dalam menangani penipuan yang dikaitkan dengan ejen tarik kereta.
Ketua aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan berkata, terdapat banyak kelemahan dalam sistem semasa yang dieksploitasi oleh ejen tarik kereta untuk kepentingan mereka.
Baca Juga:
- Kereta Kena Tarik Dan Makan Mi Segera, Hafiz Hamidun Kongsi Pahit Getir Sebelum Bergelar Jutawan
- Berang Kereta Ditarik MPSJ, ‘Uncle’ Ini Diminta Tampil Beri Penjelasan Sebenar
- Mengamuk Ketika Kereta Ditarik, Netizen Dedah Kisah Sebenar Wanita Ini Yang Ramai Tidak Tahu
Beliau menekankan keperluan untuk merombak industri untuk menangani isu-isu lama yang berkait dengan ejen tarik kereta secara berkesan — termasuklah penipuan, gangsterisme dan pemerasan terhadap pemilik kenderaan.
“Isu-isu ini perlu ditangani. Kami sudah muak dengan perkara karut ini, dan pihak berkuasa – anda akan terkejut – kadang-kadang kelihatan seperti mereka tidak pedulikannya,” kata Nadzim kepada New Straits Times.
Sebelum ini beliau diminta mengulas mengenai siri laporan NST mengenai kemunculan sindiket yang didalangi ejen tarik kereta yang menjual kenderaan yang dirampas pada harga lebih rendah.
Beliau turut menceritakan bagaimana kereta rakannya ditarik, dan kemudian hilang tanpa sebarang jejak.
“Seorang rakan saya meletakkan keretanya di rumah rakan kami dan saya ternampak sebuah trak tunda menunggu untuk menarik keretanya. Saya menghubungi rakan saya, tetapi dia memutuskan untuk membiarkannya sahaja.
“Dia pada mulanya berharap untuk mendapatkan keretanya dari stor pengambilan semula pada hari berikutnya, tetapi kenderaan itu tidak ditemui,” katanya.
Nadzim mencadangkan penubuhan pasukan petugas yang melibatkan media, pertubuhan bukan kerajaan, bank, dan agensi berkaitan bekerjasama menangani isu tersebut.
“Kita perlu mengubah keseluruhan senario dengan meminta orang yang serius (untuk mengusahakan perubahan), dan saya fikir terdapat keperluan untuk rombakan (industri ejen tarik kereta),” tambahnya.