Kelab gergasi tanah air, Johor Darul Ta’zim (JDT) memulakan jelajah pra musim di Sepanyol dengan langkah kanan apabila membelasah kelab divisyen 3, Real Murcia 3-0 pada aksi persahabatan di Stadium Nueva Condomina, semalam.

Juara Liga Super 10 kali itu menurunkan barisan terkuat dalam kesebelasan utama termasuk beberapa pemain kebangsaan seperti Arif Aiman, Matthew Davies selain tonggak import baharu.

Baca Juga:

Malah, Real Murcia juga turut diperkuatkan oleh bekas bintang Real Madrid, Pedro Leon yang merupakan kapten pasukan tersebut. 

Pedro Leon turut beraksi dalam perlawanan menentang JDT. FOTO: JST

Harimau Selatan terlebih dahulu membuka akaun jaringan menerusi pemain kebangsaan Syria, Elias Jalil pada minit ke 3.

10 minit kemudian, giliran Arif Aiman mencatat nama sebagai penjaring selepas menyudahkan lorongan cantik dari tengah untuk gol kedua JDT.

Usaha Real Murcia untuk bangkit mencari gol tidak membuahkan hasil selepas kekebalan benteng pertahanan JDT yang diketuai Jordi Amat menghalang setiap percubaan berbahaya.

Bersambung babak kedua, JDT berjaya merobek sekali lagi gawang Real Murcia menerusi pemain tengah mereka Chico Geraldes pada minit ke-72.

Keputusan 3-0 kekal hingga tamat perlawanan sekali gus menyaksikan JDT berjaya membuka mata pasukan Eropah mengenai keupayaan sebenar kelab dari Malaysia.

Selepas Real Murcia, skuad kendalian Hector Bidoglio itu akan menentang kelab divisyen 4, CF La Nucia yang berlangsung pada hari ini.

Pada 22 April, Harimau Selatan dijadualkan menentang UD Castellonenese sebelum bertemu CD Alcoyano (24 April) dan CD Eldense sehari kemudian.

Dua perlawanan terakhir yang menanti mereka sebelum pulang ke tanah air ialah Club Costa City dan CF Benidorm pada hari yang sama (29 April) namun sepak mula waktu berbeza.

Semua perlawanan ini berlangsung secara tertutup dan dijangka tidak akan ditayangkan pada mana-mana platform ‘live streaming’.

Segala keputusan perlawanan akan diumumkan di media sosial rasmi kelab,  Johor Southern Tigers.