Pada 27 dan 28 Mach lepas, saya bersama 4 lagi wartawan akhbar telah dibawa melawat ladang tenusu di Perak. Lawatan ini bersempena program ‘Farmer to Farmer’  yang dianjurkan oleh Dutch Lady Malaysia dengan kerjasama Koperasi Tenusu Negeri Perak dan Jabatan Veterinar Perak. Melalui program ini penternak berpengalaman daripada Holland dibawa ke Malaysia untuk berkongsi pengalaman serta bertukar info dan idea tentang penternakan lembu tenusu.

Untuk pengetahuan, program tahunan ini telah memasuki tahun ke 4 dianjurkan oleh Dutch Lady Malaysia dan telah menyaksikan peningkatan pengeluaran susu sebanyak 25% pada tahun 2015.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Itinerari kami bermula dengan ucapan alu-aluan oleh Encik Ramachandran (Pengerusi Koperasi Koperasi Tenusu Negeri Perak), diikuti ucapan ringkas oleh Penyelaras Tenusu Jabatan Veteriner Perak iaitu Dr Maswati Mas Amin dan juga ucapan oleh wakil Dutch Lady iaitu Puan Shamsidar Yahya Nassim.  Majlis ini berlangsung di Pusat Pengumpulan Susu Sungai Siput.

Selesai majlis, kami dibawa melihat bagaimana proses penerimaan dan semakan kualiti susu yang dihantar ke pusat pengumpulan koperasi oleh para penternak.  Di sini kami diterangkan antara perhatian utama yang diberikan ke atas kualiti susu adalah, susu mesti bebas daripada antibiotik.

Pembukaan program Farmers to Farmers
Gambar kenangan sewaktu perasmian program.
Sundarajan (kiri) dan Sureen (kanan). Serta 2 gadis yang sempat photobomb di belakang. Haha.

Selain daripada itu, susu lembu juga dibahagikan kepada 3 gred dengan harga berbeza:

  1. Gred A = RM3.20 per liter
  2. Gred B = RM3.05 per liter
  3. Gred C = RM2.60 per liter

Penjualan susu oleh para penternak dibahagikan kepada 2 iaitu jualan secara terus ke pasaran dan jualan kepada Dutch Lady Malaysia melalui koperasi.

Selain daripada berpeluang menikmati susu segar hasil keluaran koperasi, saya sempat menemubual 2 pemuda yang mengusahakan ternakan lembu tenuau sejak mereka berusia 15 tahun.

Menurut Sundarajan a/l Krishna yang kini berusia 25 tahun, ia bermula daripada mengikut bapa beliau secara suka-suka setiap kali balik dari sekolah ketika berusia 15 tahun.  Sehingga kini pemuda ini telah memiliki sebanyak 30 ekor lembu tenusu.

Sapa suka susu ni kita geng. Sedap kan?
Sureen menghantar susu untuk dijual.
Kualiti susu diperiksa di pusat pengumpulan susu.

Bagi Sureen pula yang kini juga berusia 25 tahun, rutin beliau sebagai penternak lembu tenusu bermula seawal jam 5 pagi. Perkara pertama yang dilakukan adalah membersihkan sisa makanan dan rumput yang diberikan pada malam tadi. Diikuti membersihkan sisa najis di kandang, memandikan lembu, kemudian diberikan makan.

Selesai makan, lembu akan dimandikan sekali lagi sebelum proses memerah susu dilakukan. Selesai susu diperah, lembu diberi makan dan dimandikan sekali lagi. Kerja-kerja rutin di awal pagi ini selesai di sekitar jam 8 pagi.

Susu yang telah diperah akan dihantar ke tempat pengumpulan susu. Proses yang sama akan diulang sekali lagi di sebelah petang kerana aktiviti memerah susu dilakukan 2 kali sehari.

Kerja lain yang turut dilakukan pada selang masa adalah mencari rumput, memeriksa kesihatan lembu, memberihkan kandang dan berbagai kerja sampingan.

Mendengar kisah 2 pemuda ini, dapat saya rasakan cabaran menternak lembu bukanlah sedikit malahan ia menuntut komitmen yang tinggi dan minat yang mendalam.

Melihat saiz lembu yang sangat gagah di sini, terdetik di hati – sado sungguh lembu ni. Haha.

Keluarga Encik Thangayan bersama penternak dari Holland Guido Tuten.

Pada hari ke 2, kami dibawa melawat ladang ternakan lembu milik Encik Thangayan a/l Paramasivam di Ipoh. Di sini kami dapat melihat secara dekat bagaimana penternak dari Holland, Guido Tuten memberikan nasihat dan tips secara terus kepada Thangayan.

Satu perkara yang menarik tentang Thangayan ini, beliau pada asalnya mengikut kawan menjalankan jual beli lembu daging secara suka-suka. Penternakan susu lembu pula bermula dengan hanya seekor lembu. Namun kini selepas 5 tahun berada di dalam bidang penternakan lembu tenusu, Thangayan telah memiliki 130 ekor lembu.

Purata lembu yang diperah susu setiap hari adalah antara 50 ke 60 ekor. Sementara lembu lain pula ada yang masih bunting dan ada yang baru habis tempoh penyusuan.

Kami juga berpeluang melihat bagaimana proses memerah susu lembu dijalankan, proses mengumpul dan memastikan susu disimpan pada suhu yang sepatutnya sebelum dihantar ke pusat pengumpulan serta bagaimana batang jagung dihancurkan sebelum diberi makan kepada lembu.

Tempat menghancurkan batang pokok jagung menggunakan mesin. Batang jagung merupakan salah satu makanan lembu di ladang ini.
Proses menyejukkan suhu sebelum dihantar ke pusat pengumpulan dan jualan susu.
Guido Tuten berkongsi tentang cara beliau merawat lembu di ladang beliau di Holland kepada Thangayan.

Secara peribadi, trip ini memberikan pendedahan serta pengalaman baru kepada saya. Malahan daripada perbualan bersama 3 petani Holland yang dibawa khas oleh Dutch Lady Malaysia bagi mengikuti program ini, ia merupakan satu program menang-menang bagi kedua belah pihak.

Malahan dengan cara ini, selain daripada melihat bagaimana lembu diternak di negara ini, mereka juga dapat belajar dan bertukar input tentang perkara baru bersama para petani di sini.

Guiton Tuten sedang ditunjukkan masalah yang dialami pada kuku kaki lembu.
Proses perah susu dengan mesin pemerah.

Acara wajib. Gambar beramai-ramai wakil media, wakil Dutch Lady bersama para penternak.

Bagi Guido Tuten, perusahaan menternak lembu merupakan perniagaan tradisi keluarga beliau. Sehingga kini beliau merupakan generasi ke 6 yang mengusahakan penternakan lembu tenusu.

Ditanya tentang bagaimana beliau menguruskan ladang, ujar Guido Tuten segalanya beliau uruskan bersama isteri, kakak serta ahli keluarga beliau. Selain daripada itu, keluarga beliau turut menjalankan perniagaan rumah tumpangan (Bed & Breakfast) yang menawarkan pengalaman menginap di ladang tenusu dan menikmati suasana desa di sebelah rumah kediaman beliau di Holland.

Kunjungan ini mengingatkan saya akan satu ayat yang sering saya dengar ketika dulu – hargailah titik peluh petani. Maka tidak hairanlah mengapa setiap titisan susu perlu dimanfaatkan sebaiknya dan tiada pembaziran.

Sehingga kini permintaan terhadap  susu segar semakin meningkat di negara ini. Saya difahamkan bagi pasaran Malaysa, 90% daripada bekalan susu terpaksa diimport daripada luar negara. Maka secara tidak langsung ini menunjukkan pasaran susu segar mempunyai permintaan yang tinggi di negara ini.

Program yang berlangsung selama 2 minggu ini akan diteruskan dengan lawatan ke ladang ternakan lembu di Melaka pada minggu ini.

To Dutch Lady Malaysia, you guys had done a great job in educating and promoting milk industry in Malaysia.

For advertising, online branding, viral stories and social media positioning for Malaysian market, please feel free to contact our team.

Ida Latif
Editor, TheVocket.com