Manchester United berpotensi menerima pampasan bernilai jutaan ringgit sekiranya kecederaan dialami Manuel Ugarte ketika bersama Uruguay memaksanya berehat untuk tempoh yang panjang.

Pemain tengah berusia 25 tahun itu terpaksa diusung keluar padang ketika aksi Piala Dunia menentang Sepanyol pada Jumaat selepas mengalami kecederaan lutut akibat perlanggaran tidak sengaja dengan rakan sepasukan, Mathias Olivera.

Ugarte Alami Kecederaan Ngeri

Dalam insiden tersebut, kaki Ugarte dipercayai tersangkut pada permukaan padang di Stadium Guadalajara sebelum Olivera terjatuh ke atas kaki pemain itu yang sedang berada dalam keadaan lurus menyebabkan lututnya berpusing secara tidak normal.

Kecederaan itu pastinya menjadi tamparan buat Manchester United, lebih-lebih lagi ketika Ugarte dikaitkan dengan kemungkinan meninggalkan Old Trafford pada jendela perpindahan musim panas ini.

Sekiranya beliau disahkan mengalami kecederaan serius sehingga memerlukan tempoh pemulihan yang panjang, United berkemungkinan layak menuntut pampasan kepada FIFA melalui Program Perlindungan Kelab (CPP) yang melindungi pemain yang cedera ketika menjalankan tugas antarabangsa.

Menurut sumber laporan Sport Bible, CPP diwujudkan bagi memberi jaminan kewangan kepada kelab-kelab yang melepaskan pemain mereka menyertai tugasan antarabangsa bersama pasukan kebangsaan.

Di bawah skim yang diperkenalkan sejak 2012 itu, FIFA akan membayar pampasan kepada kelab sekiranya seseorang pemain mengalami kecederaan ketika mewakili negaranya sehingga tidak dapat kembali beraksi bersama kelab.

Bagaimanapun, terdapat beberapa syarat yang perlu dipenuhi. Pemain tersebut mestilah disahkan mengalami kecederaan akibat satu insiden atau kemalangan ketika perlawanan atau latihan rasmi, selain terpaksa berehat sekurang-kurangnya 28 hari berturut-turut.

Melalui skim berkenaan, FIFA akan menanggung bayaran gaji pemain yang cedera sehingga had maksimum £6.6 juta, atau sehingga pemain itu diisytiharkan cergas untuk kembali beraksi bersama kelabnya.

Ugarte dilaporkan menerima gaji sekitar £150,000 seminggu di Manchester United, sekali gus bermakna Red Devils berpotensi memperoleh pampasan yang signifikan sekiranya pemain tengah Uruguay itu disahkan mengalami kecederaan jangka panjang.

Sebelum ini, Newcastle United dikatakan mendapat manfaat daripada CPP susulan kecederaam dialami pemain DR Congo, Yoane Wissa selepas mengalami kecederaan serius di bahagian lutut ketika tugasan antarabangsa pada September tahun lalu.

Sumber