Program Malaysia Rumah Keduaku (MM2H) dilaporkan telah memberikan sumbangan yang signifikan kepada hasil negara dan ekonomi, dengan menjana jumlah keseluruhan sebanyak RM839.9 juta.
Memetik New Straits Times, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing berkata, jumlah ini merangkumi pelaburan deposit tetap sebanyak RM597.5 juta, pelaburan hartanah sebanyak RM237.2 juta, dan yuran penyertaan sebanyak RM5.2 juta.
Baca Juga:
- Pakar Keselamatan Siber Beri Amaran ‘Hacker’ Sasar Sektor Automotif EV Malaysia

- ‘Hormati Budaya Tempatan!’ – Ekspatriat Jerman Tegur Pelancong Asing Biadap Di Malaysia

- Bapa USB Dunia Tubuh Syarikat Mikrocip Di Malaysia, Tawaran Gaji Permulaan RM6,000 Untuk ‘Fresh Grads’


“Limpahan ekonomi hasil pelaksanaan dasar baharu MM2H juga memberi manfaat kepada sektor lain seperti pendidikan, penjagaan kesihatan dan perkhidmatan insurans.
“Angka-angka ini bukan sahaja mencerminkan tarikan Malaysia sebagai destinasi pilihan, malah menunjukkan keyakinan peserta terhadap kestabilan ekonomi negara serta prospek jangka panjang Malaysia,” katanya dalam jawapan bertulis Parlimen kepada soalan Datuk Muhammad Bakhtiar Wan Chik (PN–Balik Pulau).
Lebih 3,000 berminat tinggal di Malaysia

Tiong berkata, kementeriannya telah menerima 3,019 permohonan di bawah syarat baharu yang diumumkan, bermula dari Oktober 2024 hingga Jun tahun ini.
Daripada jumlah tersebut, 48 permohonan adalah di bawah kategori Platinum, 137 permohonan Gold, 2,434 permohonan Silver, 400 permohonan Zon Ekonomi Khas atau Zon Kewangan Khas.
Setakat ini, 1,294 permohonan telah mendapat kelulusan dan pengesahan pas MM2H, iaitu 19 peserta Platinum), 61 peserta Gold, 1,020 peserta Silver, 194 peserta Zon Ekonomi/Kewangan Khas.
Beliau turut menjelaskan bahawa garis panduan baharu bagi program MM2H telah diperkenalkan pada Jun tahun lepas, yang menyaksikan kelonggaran syarat kewangan, namun memperkenalkan peraturan baharu berkaitan pemilikan hartanah.
Mulai sekarang, pemohon diwajibkan membeli hartanah di Malaysia bernilai antara RM600,000 hingga RM2 juta, bergantung kepada kategori visa yang dimohon.