Bukit Fraser, sebuah destinasi tanah tinggi di Malaysia yang terkenal dengan jolokan ‘Little British Colony’, baru-baru ini menarik perhatian seorang pempengaruh media sosial dari Amerika Syarikat, Sinclair Search.

Melalui satu hantaran video di TikTok, Sinclair berkongsi keterujaannya apabila menemui sebuah bangunan kolonial terbiar yang dibina sekitar tahun 1920-an.

Apa yang mengejutkan, beliau menyimpan impian besar untuk membeli dan memulihkan semula hartanah bersejarah tersebut dengan bajet permulaan sekitar USD5,000 (sekitar RM22,000 hingga RM23,000).

‘Hotel Projek US 5,000’ Di Tengah Keindahan Alam

Dalam klip video tersebut, Sinclair menyifatkan Bukit Fraser sebagai salah satu lokasi paling damai dan tenang di Malaysia.

Sambil menunjukkan kereta Dodge Challenger berwarna Ungu miliknya yang diletakkan di halaman rumah agam itu, beliau meluahkan rasa terkilan melihat sebuah mercu tanda sejarah dibiarkan rosak dan terbiar begitu sahaja.

“Saya tidak percaya ada orang yang sanggup membiarkan bangunan dari tahun 1920-an ini runtuh dan rosak,” kata Sinclair dalam videonya.

Hasil tinjauan di bangunan tersebut, beliau mendapati rumah agam tersebut mempunyai:

7 Bilik Tidur: Termasuk bilik utama yang dilengkapi dengan balkoni yang luas dan pemandangan hijau.

Ruang Tamu & Dapur Luas: Walaupun dipenuhi perabot rosak dan siling yang runtuh, struktur asasnya masih kelihatan utuh.

Konsep ‘Bed & Breakfast’: Sinclair merancang untuk menetap di situ selama 6 bulan bagi membaiki sendiri rumah tersebut dan menukarkannya menjadi inap sarapan berkonsepkan gaya British kolonial.

@sinclairs_search

New roadtrip side quest just dropped ⬇️ It pains me to see old architecture fall into disrepair. As recently as 2018, this was a functioning hotel. Does anyone know the ownership? Would love to partner up and document a renovation, as I consider Fraser’s Hill to be a premier nature destination on the Malaysian peninsula. We can bring in volunteers, document the process, and showcase the diversity of Malaysian culture throughout. Share it far and wide! #roadtrip #american #malaysia #homerenovation #nature

♬ original sound – Sinclair’s Search

Misi Mencari Pemilik Sebenar

Walaupun mempunyai visi yang jelas untuk menghidupkan semula rumah agam tersebut, Sinclair berdepan satu cabaran besar—beliau tidak tahu siapa pemilik sah hartanah berkenaan.

Bangunan yang didakwanya dinamakan sebagai ‘Parr’ berdasarkan rekod sejarah lama itu jelas tidak dijaga, dengan tingkap kaca yang pecah dan halaman yang ditumbuhi semak samun.

Melalui video tersebut, beliau meminta bantuan rakyat Malaysia dan para pengikutnya untuk menjejaki pemilik atau waris hartanah tersebut agar impiannya untuk membeli dan memulihkan rumah itu dapat direalisasikan.

Mengapa Bukit Fraser?

Bagi Sinclair, keunikan Bukit Fraser yang mengekalkan seni bina kolonial British, lengkap dengan pondok telefon merah ikonik dan peti pos klasik, menjadikannya lokasi terbaik untuk melarikan diri daripada kesibukan kota besar.

Ditambah pula dengan kehadiran hidupan liar seperti monyet dan suasana hutan yang berkabus, ia adalah sebuah lubuk pelancongan tersembunyi yang sangat berharga.

“Ini adalah lokasi yang sangat strategik. Tidak masuk akal mengapa ia dibiarkan begini,” tambahnya lagi, menyatakan kesediaannya untuk menetap di Malaysia untuk beberapa bulan demi merealisasikan projek restorasi ini.

Netizen Kata Hati-Hati
Menerusi komen-komen yang dikongsikan warganet, ramai meminta Sinclair untuk berhati-hati jika nekad mahu membuat projek hotel di Bukit Fraser itu.

Menurut netizen, walaupun ‘rumah cantik’ namun sudah lama terbiar, pasti ada kisah di sebalik kekosongan rumah tersebut.

Pada masa sama rumah yang sudah lama terbiar selalunya mempunyai ‘penghuni’ dari alam lain.

“Ia berhantu, apa yang anda fikirkan?”

“Katanya tempat tu ada hantu, tapi bagi sesiapa yang tak percaya, tidak menjadi masalah sama sekali”

“Rumah yang terletak berhampiran Bukit Fraser itu sangat berhantu. Pada ketika itu, terdapat sebuah syarikat produksi perfileman yang sedang menjalani penggambaran filem misteri pada waktu malam. Semasa penggambaran tersebut berlangsung, terdapat sesuatu yang dikesan bergerak di dalam rumah berkenaan.”

Pada masa sama, netizen turut tampil mengingatkan bahawa kos untuk menghidupkan semula rumah agam terbiar itu pastinya melangkaui bajet USD5,000, melihatkan kepada banyaknya struktur yang telah rosak.