Terowong Kuantan untuk projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang mempunyai panjang 2.8 kilometer berjaya ditembusi dua bulan lebih awal daripada jadual dan menjadikannya terowong ECRL yang ke-12 melengkapkan proses pengorekan sehingga hari ini, kata Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL).

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Seri Darwis Abdul Razak, berkata Projek ECRL telah mencapai satu lagi pencapaian dengan penembusan Terowong Kuantan menjadi terowong terpanjang antara 12 terowong yang telah berjaya ditembusi.

Baca Juga:

“Kejayaan penembusan 12 buah terowong ECRL sehingga hari ini membuktikan keupayaan pasukan projek dalam menangani cabaran dari segi kejuruteraan dan menerima pakai teknologi terowong yang lebih canggih. Tambahan tiga terowong ECRL yang sedang menjalani kerja-kerja pengorekan dijangka akan tembus pada hujung 2022.

“Tahap kemajuan yang baik bagi kerja-kerja pengorekan terowong, yang juga antara kerja paling mencabar bagi projek ECRL, akan memudahkan penyiapan infrastruktur rel dari Kota Bharu ke Terminal Pengangkutan Bersepadu (ITT) di Gombak menjelang Disember 2026,” katanya dalam satu kenyataan.

Terowong Kuantan melintasi dua buah negeri di Pantai Timur dengan anggaran 976 meter bahagian terowong di Pahang dan 1,890 meter terletak di Terengganu. Letupan terakhir di Terowong Kuantan menembusi lapisan akhir kira-kira 1,700 meter dari portal masuk terowong.

Bagaimanapun, portal masuk terowong di Kg. Alor Batu Jabor dan portal keluar di Hutan Simpan Bukit Galing adalah di bawah daerah Kuantan, Pahang.

Pembinaan Terowong Kuantan membolehkan laluan kereta api ECRL memenuhi tahap maksimum kecerunan iaitu 0.9 peratus serta mengelakkan penebangan terbuka di Hutan Simpan Bukit Galing, lapor Berita Harian.

Sumber