PROTON Holdings Bhd (PROTON) secara rasmi melancarkan Proton Capital, sebuah syarikat pembiayaan automotif baharu yang ditubuhkan khas bagi meluaskan akses serta menawarkan lebih banyak pilihan skim pembiayaan kepada para pelanggan.
Memetik kenyataan rasmi, Proton Capital direka untuk menyediakan pengalaman pembiayaan yang lebih bersepadu, mudah, dan lancar terus menerusi rangkaian pengedar PROTON yang mengambil bahagian.
Pada peringkat pengenalan awal, perkhidmatan pembiayaan ini dibuka khusus kepada pelanggan individu yang layak bagi pembelian mana-mana model kenderaan baharu PROTON di kawasan Lembah Klang, sebelum perkhidmatannya diperluaskan ke seluruh negara secara berperingkat.
Langkah ini mencerminkan komitmen berterusan PROTON dalam meningkatkan kualiti perkhidmatan pelanggan di samping memperkasakan ekosistem jualan automotif tempatan.
Pelanggan yang berminat untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai pakej dan syarat pembiayaan boleh mengunjungi cawangan pengedar PROTON yang mengambil bahagian atau hubungi terus talian Proton Capital Customer Care.