PROTON mengumumkan berjaya mengintegrasikan Sistem Pengecaman Suara (Voice Recognition – VR) dalam Bahasa Melayu ke dalam model terbaharunya, PROTON X50.
Memetik kenyataan rasminya, keupayaan dwibahasa ini menjadikan PROTON sebagai pengeluar kereta pertama yang menawarkan fungsi arahan suara secanggih ini.
Baca Juga:
- Proton X50 2025 Tampil Rekaan Serba Baharu, Enjin Lebih Berkuasa

- Tampilkan Pelakon Terkenal Mesir, Ini Iklan Proton Saga Paling ‘Action’

- ‘Kereta Elektrik Yang Terbaik’ – Tun Mahathir Pandu, ‘Review’ Proton e.MAS 7

VR Bahasa Melayu itu dikenali sebagai Aisyah.
Proton bangunkan ‘Aisyah’ lebih 336,000 jam

Nama Aisyah dipilih kerana ia merupakan satu watak wanita yang mesra dan mudah diingati, direka untuk terasa seperti teman atau ahli keluarga sendiri.
Sistem VR ini dibangunkan dalam tempoh tujuh bulan sahaja, jauh lebih singkat berbanding tempoh asal yang dirancang selama setahun.
Pembangunan yang berlangsung dari Oktober 2024 hingga Mei 2025 ini melibatkan pengumpulan 4,000 variasi arahan dalam Bahasa Melayu.

Dalam tempoh yang sama juga, 4,000 variasi arahan dalam Bahasa Inggeris turut dikumpulkan.
Lebih 336,000 jam bekerja telah dilaburkan dalam kerjasama bersama ACO Tech untuk merealisasikan sistem VR dalam Bahasa Melayu ini.
Lebih 200 sampel suara Bahasa Malaysia standard, yang dibahagikan secara seimbang antara penutur lelaki dan wanita, telah dirakam dengan teliti bagi memastikan ketepatan pengenalan suara merangkumi pelbagai frasa, termasuk variasi bahasa semula jadi seperti ‘buka tingkap’ dan ‘bukakan tingkap’.

Untuk rekod, data dalaman PROTON bagi Jun 2025 menunjukkan bahawa perkataan ‘Hello’ merupakan arahan yang paling kerap digunakan, dengan 43,896 arahan direkodkan.
Ia diikuti dengan soalan bermula dengan perkataan “What” – seperti “What is the weather like today” dan arahan “Call”, masing-masing mencatat 40,779 dan 24,647 arahan.
Jumlah transaksi sepanjang Jun mencecah 2.8 juta dengan 228,046 pengguna aktif.