Paris Saint-Germain (PSG) mengesahkan penyerang muda mereka, Desire Doue mengalami kecederaan serius apabila disahkan mengalami koyakan ligamen anterior cruciate (ACL) pada lutut kanan.

Menerusi kenyataan rasmi kelab, kecederaan itu berlaku ketika Doue beraksi menentang OGC Nice dalam aksi Ligue 1 pada Sabtu.

Pemeriksaan perubatan mengesahkan pemain berusia 21 tahun itu mengalami kecederaan ACL yang memerlukan rawatan pembedahan.

Menurut PSG, Doue akan menjalani pembedahan sebelum penghujung bulan ini.

PSG dalam kenyataan rasminya menyatakan: “Desire Doue mengalami koyakan pada ligamen anterior cruciate (ACL) lutut kanannya ketika perlawanan Ligue 1 pada Sabtu menentang OGC Nice.

“Beliau akan menjalani pembedahan sebelum penghujung bulan ini.”

Kecederaan ACL merupakan antara kecederaan paling serius dalam bola sepak kerana ia melibatkan ligamen utama yang membantu menstabilkan sendi lutut, khususnya ketika pemain melakukan pergerakan memusing, menukar arah dan membrek secara mengejut.

Selepas pembedahan, Doue perlu melalui proses rehabilitasi yang panjang melibatkan pemulihan pergerakan lutut, penguatan otot, latihan larian dan akhirnya latihan bola sepak sebelum mendapat kebenaran kembali beraksi.

Tempoh pemulihan kecederaan ACL lazimnya mengambil masa sekitar 6 hingga 12 bulan, bergantung kepada tahap kecederaan, prosedur pembedahan dan perkembangan pemulihan pemain.

Ini merupakan tamparan besar buat PSG yang kehilangan salah seorang pemain muda penting mereka untuk tempoh yang panjang.

Untuk PSG, Doue menjadi pemain kedua mereka musim ini yang mengalami kecederaan ACL. Sebelum ini seorang lagi bintang mereka, Kvicha Kvaratskhelia turut mengalami ACL.